Tahu tak korang, bermula 1 Januari 2025, perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial perlu mendapatkan lesen
Di bawah kerangka pelesenan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Bagi korang yang aktif menggunakan media sosial, penting untuk ambil tahu tentang kerangka pelesenan ini yang akan dikuatkuasakan nanti.
Tujuan kerangka pelesenan perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang diperkenalkan oleh MCMC:
Langkah proaktif ini dibuat untuk menangani peningkatan jenayah siber seperti penipuan dalam talian, judi dalam talian, buli siber, dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
Kerangka pelesenan ini memastikan penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang memenuhi kriteria pelesenan memohon Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta 588.
MCMC juga sedang membangunkan kod tatalaku amalan baik yang mengandungi tatalaku dan tanggungjawab proaktif oleh penyedia perkhidmatan. Kod ini akan merangkumi langkah-langkah berkaitan perlindungan data pengguna, sekatan umur untuk menghalang pengguna bawah umur daripada mengakses kandungan berbahaya, menangani kemudaratan dalam talian, dan memperbaiki usaha penyederhanaan kandungan.
Platform media sosial yang terlibat:
Penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial utama seperti Facebook, Facebook Messenger, Instagram, TikTok, WhatsApp, Telegram, WeChat, X, dan YouTube akan tertakluk di bawah kerangka pelesenan ini jika mereka mempunyai sekurang-kurangnya 8 juta pengguna di Malaysia.
Pastinya, pengguna akan merasakan pengalaman yang lebih selamat untuk mengakses media sosial selepas ini!
Apa yang berlaku jika kerangka pelesenan tidak dipatuhi?
Penyedia perkhidmatan yang tidak mematuhi kerangka pelesenan ini boleh didenda sehingga RM500,000 atau dipenjara selama 5 tahun, atau kedua-duanya sekali.
Namun, jangan risau kerana kerangka pelesenan ini hanya terpakai kepada penyedia perkhidmatan dan tidak melibatkan pengguna biasa. Sebaliknya, pengguna akan menikmati persekitaran dalam talian yang lebih selamat serta proses aduan yang lebih mudah.
Untuk maklumat lanjut mengenai kerangka pelesenan ini, klik di SINI.
BACA: Tak sangka, cerai pun boleh selesai sehari, macam masuk kerja pakai kabel! Janji patuh 5 syarat ini