Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), serta ‘trend’ undi Melayu yang dikatakan kembali kepada Umno,
Ini adalah antara dua faktor yang boleh menghalang hasrat Perikatan Nasional (PN) untuk menguasai Melaka, kata penganalisis.
Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, keyakinan yang dinyatakan oleh Setiausaha Agung PN,
Hamzah Zainudin, untuk menawan negeri itu pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang mungkin berpunca daripada kejayaan mereka menang tiga kerusi pada PRU15.
Walaupun PN kalah teruk pada PRN Melaka 2021 dengan hanya menang dua daripada 28 kawasan DUN,
mereka bangkit semula dengan menguasai kerusi Parlimen Tangga Batu, Masjid Tanah, dan Jasin pada PRU setahun selepas itu.
“Namun, situasi kini berbeza dengan landskap politik yang menyaksikan BN-PH bekerjasama, peluang Bersatu dan PN untuk menawan Melaka mungkin rendah.
Tambahan pula, Umno semakin mendapat sokongan pengundi Melayu, sementara PN pula mengalami kekalahan pada beberapa pilihan raya kecil (PRK) kebelakangan ini, termasuk PRK Mahkota,” katanya.
Hamzah, yang juga setiausaha agung Bersatu, melahirkan keyakinan di sebuah majlis di Melaka minggu lalu bahawa PN mampu menang besar pada PRN, menggantikan pentadbiran sedia ada.
PRN Melaka perlu diadakan selewat-lewatnya pada penghujung 2026 setelah penggal pentadbiran sekarang yang dipegang BN tamat.
Pada PRN Melaka 2021, BN menang 21 daripada 28 kerusi, tetapi gagal menawan sebarang kerusi pada PRU15. PH pula menguasai lima kerusi DUN dan tiga kerusi Parlimen iaitu Alor Gajah, Hang Tuah Jaya, serta Kota Melaka.
Sementara itu, Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berpendapat bahawa isu nasional yang dimainkan oleh PN, seperti sentimen Melayu-Islam, kos sara hidup, inflasi, dan imej kerajaan PH-BN, mungkin boleh mempengaruhi undi pada PRN akan datang.
Namun, katanya, kekuatan jentera BN di Melaka masih dominan, terutama kemampuan Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh dalam menguruskan politik Umno-BN di negeri itu.
“Sekiranya Bersatu mengumumkan calon ketua menteri lebih awal untuk membina momentum politik, belum tentu ada kesan jika individu itu kurang popular berbanding Rauf,” katanya.
Salawati Mat Basir dari Universiti Kebangsaan Malaysia pula berpandangan bahawa Bersatu dan PN perlu membawa isu yang dapat menonjolkan kelemahan kerajaan sedia ada jika mereka mahu menang tanpa terlalu bergantung kepada pengaruh tokoh politik mereka.
“Orang mungkin semakin muak dengan politik. Jika isu yang dibawa jelas dan teratur untuk difahami rakyat, maka peluang untuk menang di Melaka adalah lebih cerah,” katanya.