Deposit rumah sewa 1+1, 2+1, 2+1+1, apa maksud semua ini?

Oleh AHMAD SULAIMAN

Apabila mencari rumah sewa, salah satu perkara utama yang perlu diberi perhatian adalah deposit.

Namun, masih ramai yang salah faham mengenai istilah deposit ini, baik dari pihak penyewa mahupun tuan rumah.

Sebahagian tuan rumah enggan memulangkan deposit penyewa, manakala ada penyewa yang menganggap deposit sebagai ‘bayaran pendahuluan’ untuk bulan-bulan terakhir.

Tuan rumah sering dimaki di media sosial kononnya mengeksploitasi dengan meminta deposit yang tinggi,

sementara ada penyewa yang mengambil kesempatan apabila deposit yang rendah dikenakan kepada mereka.

Deposit rumah sewa 1+1, 2+1, 2+1+1, apa maksud semua ini?

➡ 1+1
➡ 2+1
➡ 2+1+1

Apa maksud semua ini?

Apa sebenarnya maksud dan konsep deposit ini?

Deposit didefinisikan sebagai sebahagian daripada bayaran yang dibayar dalam bentuk wang (sebahagian lagi adalah hutang). Penggunaan istilah ‘deposit’ ini menyebabkan sesetengah penyewa menganggapnya sebagai bayaran ‘pendahuluan’ untuk bulan terakhir.

Pada pandangan saya, penggunaan terma ‘deposit’ dalam konteks rumah sewa adalah satu “misnomer”. Istilah yang lebih tepat adalah cagaran. Cagaran bermaksud sesuatu yang dijadikan sebagai jaminan. Contohnya, jika berlaku kerosakan atau tunggakan, cagaran ini akan digunakan oleh tuan rumah. Jika tiada masalah, cagaran akan dipulangkan.

Sebelum menyerahkan rumah sewa, biasanya tuan rumah akan meminta wang cagaran sebanyak 1, 2, atau 3 bulan sewa, bergantung kepada:

Kondisi rumah (kosong atau berperabot)
Budi bicara tuan rumah
Kebolehpercayaan terhadap penyewa
Sebagai contoh, jika sewa bulanan adalah RM700, maka:

➡ 1+1: RM700 (cagaran) + RM700 (sewa bulan pertama) = RM1,400
➡ 2+1: RM1,400 (cagaran) + RM700 (sewa bulan pertama) = RM2,100
➡ 2+1+1: RM1,400 (cagaran sewa) + RM700 (cagaran utiliti) + RM700 (sewa bulan pertama) = RM2,800

RUMAH SEWA TANPA DEPOSIT?

Jarang dan sukar untuk mencari tuan rumah yang menyewakan rumah tanpa deposit kerana mereka berhadapan dengan RISIKO, contohnya:

Penyewa yang bertangguh dalam bayaran sewa, sedangkan tuan rumah perlu membayar ansuran di bank setiap bulan. Kelewatan boleh mencemarkan rekod kredit tuan rumah. Lebih teruk, jika penyewa tidak bayar sewa dan kemudian menghilangkan diri.

Penyewa yang keluar awal sebelum tamat kontrak menyebabkan tuan rumah mungkin rugi 1-2 bulan rumah kosong kerana perlu mencari penyewa baru akibat pelanggaran kontrak.

Kerosakan yang disebabkan oleh penyewa, seperti paip patah, pintu pecah, tombol rosak, dan lain-lain. Kerosakan ini sepatutnya ditanggung oleh penyewa.

Perabot yang rosak. Contohnya, sofa hancur atau cermin pecah. Kerosakan ini juga adalah tanggungjawab penyewa, bukan sekadar ‘wear and tear’, kecuali jika perabot tersebut sudah uzur.

Bil tertunggak yang tidak dilangsaikan oleh penyewa, kadangkala sehingga berbulan-bulan lamanya. Ini biasanya hanya disedari setelah penyewa keluar dari rumah.

Keadaan rumah yang bersepah dengan sampah dan kotoran, yang menunjukkan kurangnya penjagaan. Rumah sewa yang dipulangkan seharusnya dalam keadaan yang sama seperti ketika penyewa mula-mula masuk. Jika tidak, kos pembersihan perlu ditanggung oleh penyewa.

Ini hanya beberapa contoh. Jika tiada duit cagaran, adakah penyewa sanggup mengeluarkan duit sendiri? Ini kedengaran mustahil. Jika cagaran digunakan untuk bayaran sewa bulan-bulan terakhir, dan penyewa keluar tanpa menyelesaikan tunggakan bil mencecah RM1,000, adakah penyewa yang telah keluar akan menghulurkan duit tersebut?

Namun, ada juga segelintir tuan rumah yang memperlakukan duit cagaran seolah-olah duit mereka sendiri. Cagaran diambil dan tidak dipulangkan, menyebabkan mereka tidak mampu untuk mengembalikannya kepada penyewa setelah tamat kontrak sewa.

Kepada tuan rumah, penting untuk menegaskan kepada penyewa dari awal bahawa duit deposit atau cagaran BUKANLAH ‘BAYARAN PENDAHULUAN’ untuk sewa. Ini bagi mengelakkan penyewa memaksa tuan rumah menggunakan duit cagaran sebagai bayaran sewa bulan terakhir.

Jika tidak, apabila mereka keluar, tuan rumah akan kehilangan cagaran yang sepatutnya digunakan untuk menampung risiko di atas.

PERJANJIAN SEWA BERTULIS

Akhir sekali, buat perjanjian sewa secara bertulis dan catat dengan terperinci mengenai deposit atau cagaran ini.

Jika berlaku pertikaian, rujuk kepada perjanjian ini. Jika hanya sekadar berbincang tanpa dokumentasi, akhirnya mungkin ada pihak yang tidak bertanggungjawab.

BACA: Saya anggap macam adik, Isman Hijjaz jawab dakwaan bakal berkahwin dengan Ina Naim