Walaupun terdapat individu yang sudah menghubunginya untuk memohon maaf, pelakon dan ahli perniagaan,
Datuk Rosyam Nor, 57, tetap meneruskan tindakan undang-undang terhadap pihak yang mengaitkan namanya dengan isu rumah tangga pasangan selebriti, Fattah Amin dan Nur Fazura.
“Esok, saya bersama peguam akan bertemu dengan pegawai penyiasat untuk meneruskan siasatan dan mengenal pasti
setiap akaun media sosial yang menyebarkan fitnah terhadap saya (berhubung dakwaan kenyataan mengenai perceraian Fattah dan Fazura).
“Bila berlaku isu rumah tangga antara Fattah dan Fazura, saya anggap mereka seperti adik sendiri.
Saya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai mereka. Cuma, apabila ada tangan nakal yang membabitkan saya dalam isu itu, ia adalah fitnah.
“Pada mulanya, saya tidak mahu ambil peduli, tetapi bila semua orang bercakap tentang mengapa saya ingin masuk campur dan isu ini merebak hingga menjadi teruk, saya rasa perlu mengambil tindakan undang-undang kerana ia menjatuhkan reputasi saya yang tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan,” katanya.
“Penyebaran fitnah terhadap saya sangat menjejaskan nama baik saya sebagai ahli perniagaan dan selebriti, termasuk memberi kesan kepada ahli keluarga serta kerjasama dengan beberapa agensi.
“Apapun, saya akan memberi kerjasama penuh kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta polis untuk menyiasat perkara ini hingga selesai. Saya memang marah dengan fitnah yang disebarkan ini.
“Mereka (pemilik akaun media sosial) perlu ingat bahawa saya mempunyai keluarga, besan, menantu, cucu, dan rakan perniagaan yang nama baik mereka juga perlu dijaga. Lebih-lebih lagi, semua kenyataan yang dikaitkan kepada saya adalah fitnah besar, yang tidak benar,” katanya.
Rosyam menegaskan bahawa nama, kredibiliti, dan jenama yang dia bekerjasama dengan memang terjejas kerana kadang-kadang ada segelintir orang yang mudah percaya dengan apa saja yang dipaparkan di media sosial.
“Saya berharap tindakan undang-undang yang diambil ini akan membuka mata masyarakat yang menggunakan media sosial, walaupun bukan semua netizen bersikap begitu (menyebar fitnah).
“Hanya segelintir (netizen) yang tidak mahu memahami dan suka membuat hantaran berunsur fitnah kepada orang lain, seperti yang terjadi pada saya.
Namun, ada seorang dari Kedah yang telah menghubungi saya dan mengaku silap. Cuma, saya sudah serahkan kepada undang-undang,” katanya.
BACA: Saya anggap macam adik, Isman Hijjaz jawab dakwaan bakal berkahwin dengan Ina Naim