Hartanah yang dijual secara lelongan kini semakin menjadi pilihan masyarakat berbanding kediaman baharu, yang sering dirujuk sebagai ‘koyak plastik’.
Ini kerana harganya jauh lebih murah berbanding pasaran semasa, dan sudah pasti memberikan pulangan yang menguntungkan.
Bagi anda yang berminat untuk membida hartanah lelong, adalah penting untuk bersedia dengan wang yang mencukupi
kerana kebiasaannya ‘duit muka’ atau deposit yang perlu dibayar adalah 10 peratus daripada harga jualan.
Berikut adalah persediaan awal yang perlu dilakukan jika anda ingin membeli rumah lelong, berdasarkan perkongsian Peguam Hartanah, Datuk Nazri Mustafa:
Deposit Kebiasaannya 10 Peratus
Namun, terdapat beberapa institusi perbankan yang kini menerima deposit serendah lima peratus.
Yuran Guaman Peguam Pembida
Selain deposit, anda juga perlu menyediakan wang untuk urusan guaman bagi peguam pembida yang berkaitan dengan pindah milik dan duti setem. Anggaran kasar untuk yuran guaman adalah 3.5 peratus. Anda disarankan untuk bertanya lanjut kepada peguam yang biasa terlibat dengan kes lelongan.
Duit Bayaran Tunggakan Cukai dan Utiliti
Kebiasaannya, rumah lelong mempunyai tunggakan cukai dan utiliti. Anda perlu bersedia untuk membayar cukai tanah, cukai taksiran, dan sebarang utiliti yang tertunggak. Untuk kediaman jenis strata, anda juga perlu menjelaskan bil penyelenggaraan yang tertunggak termasuk penalti lewat bayar yang ditinggalkan oleh pemilik asal.
Tunggakan pada Pemaju
Jika terdapat tunggakan kepada pemaju, kos tersebut juga perlu dilangsaikan oleh anda.
Double Transfer atau Dua Transaksi Bayaran
Sesetengah pemaju enggan menerima transaksi secara terus dan meminta anda melakukan dua transaksi bayaran, iaitu daripada bank kepada defaulter dan daripada defaulter kepada anda. Bank akan menandatangani bagi pihak defaulter, jadi anda perlu menanggung kos untuk bayaran duti setem dua kali.
Bayaran Pentadbiran Pemaju
Ini adalah bayaran bagi kos berkaitan dokumentasi dan pengurusan unit hartanah yang disediakan oleh pihak pemaju.
Bayaran Fi Liquidator
Bayaran ini perlu dilakukan apabila pemaju muflis dan proses pindah milik pertama daripada pemaju kepada defaulter belum selesai.
Bersedia untuk Bayaran Caj Tersembunyi dan Kos Baik Pulih Kediaman
Banyak hartanah lelong digelar ‘rumah busuk’ kerana pembeli perlu melakukan renovasi atau baik pulih supaya ia sesuai untuk diduduki. Kadang-kadang, kos baik pulih ini boleh menjadi tinggi.
Untuk pengetahuan anda, rumah lelong adalah hartanah yang akan dijual oleh pihak bank melalui lelongan awam, yang biasanya dilakukan di pejabat tanah, mahkamah, atau di tempat lelongan.
Harganya juga jauh lebih rendah, iaitu antara 30 peratus hingga 50 peratus daripada harga pasaran semasa.
Selain unit strata seperti kondominium dan flat, terdapat juga kediaman jenis banglo dan rumah teres yang dijual secara lelongan atas pelbagai sebab.
BACA: Netizen jodohkan Cik Epal dengan Fattah Amin, respon tuan badan buat bekas suami meroyan