Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menemui wang tunai, termasuk mata wang asing bernilai RM321,000
ketika menggeledah dua lagi rumah selamat (safe house) di sekitar ibu negara,
selepas serbuan pertama dilakukan di sebuah pangsapuri yang didakwa milik seorang ahli politik.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, menyatakan bahawa pihaknya telah menemui SGD74,000 atau kira-kira RM243,000 di salah sebuah rumah,
Manakala di lokasi kedua, sejumlah wang tunai kira-kira RM78,000 turut dijumpai.
“Ya, (rumah itu) terletak di Kuala Lumpur, ada juga di sekitar Selangor. Penggeledahan pertama dilakukan pada malam Sabtu dan seterusnya malam tadi, kami melakukan satu persatu selepas siasatan dan berdasarkan pengakuan yang diperolehi.
“Kami juga mendapat maklumat bahawa sebahagian wang telah dilaburkan di Singapura, namun saya tidak dapat mendedahkan jumlahnya dan siapa pemiliknya,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian selepas Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah 2024 di Kota Kinabalu.
Semalam, SPRM dilaporkan telah menemui wang tunai berjumlah SGD1,529,000 atau kira-kira RM5 juta di sebuah pangsapuri di Kuala Lumpur pada malam Sabtu, yang dipercayai digunakan untuk menyimpan hasil rasuah.
Menurut sumber, serbuan itu dilakukan hasil daripada penahanan seorang suspek yang mendedahkan adanya rumah selamat untuk menyimpan wang rasuah yang dikaitkan dengan seorang ahli politik berpengaruh. Premis tersebut dikatakan disewa oleh seorang ahli perniagaan.
Penemuan wang tunai itu berlaku selepas penahanan dua individu, termasuk seorang bekas eksekutif kanan di Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, yang berkaitan dengan siasatan rasuah melibatkan konsesi perlombongan pasir.
Azam tidak menolak kemungkinan SPRM akan melakukan penggeledahan di lokasi lain selepas ini.
“Saya rasa akan ada lagi penemuan di rumah selamat lain. Kami masih menjalankan siasatan dan risikan mengenai penyimpanan wang ini.
“Mungkin ada simpanan di bank-bank lain, perkara ini sedang dalam siasatan kami,” tambahnya.
BACA: Akhirnya Menteri jawab status keberadaan kapal perang China di Pulau Pinang