Ramai anak muda memilih untuk melakukan kerja sambilan sementara menunggu panggilan menyambung pengajian.
Biasanya, mereka akan memilih kerja dalam bidang retail seperti di butik-butik pakaian, pusat beli belah dan juga restoran makanan segera.
Dengan cara ini, mereka boleh mencari wang sendiri tanpa perlu mengharapkan bantuan berterusan daripada keluarga.
Di aplikasi TiKTok, seorang pemuda tular selepas dia berkongsi ‘rahsia’ kepada golongan awal 20-an yang mahu melakukan kerja sambilan.
Dalam perkongsiannya, individu itu menyenaraikan tiga jenis pekerjaan sambilan yang dianggapnya lebih berbaloi dan menjanjikan pulangan lumayan.
“Dalam usia 20-an, jangan bazirkan masa anda buat kerja sambilan di gedung jualan pakaian hanya kerana anda nak bergaya.
“Sebaliknya, kerjalah sebagai bellboy, golf caddie, valet driver atau apa saja pekerjaan yang menawarkan tips,” kongsinya.
Selain pulangan lebih lumayan, dia berkata tiga pekerjaan itu juga membuka ruang kepada anak muda untuk berkenalan dengan golongan profesional.
“Dengan cara ini, anda boleh mengumpul lebih banyak wang. Malah, gaji anda juga tak perlu sentuh kerana boleh guna wang tips untuk perbelanjaan.
“Pekerjaan-pekerjaan ini juga memberi peluang untuk anda berkenalan dengan orang kaya dan berpengaruh,” ujar pemuda itu lagi.
Menjengah ke ruangan komen, seorang netizen turut berkongsi kisahnya yang pernah bekerja dengan kapal persiaran di Pelabuhan Klang.
“Kerja sambilan terbaik yang saya buat adalah jadi penyambut tetamu untuk kapal persiaran di Pelabuhan Klang. Mereka beri saya banyak tips.
“Anda juga akan berjumpa dengan ramai orang kaya dan berpengaruh ketika bekerja. Cari (kerja ini) di Facebook, masuk grup WhatsApp,” tulisnya.
Seorang lagi netizen turut berkongsi kisahnya yang menerima banyak tips ketika bekerja di lapangan terbang.
“Lepas sekolah dulu kerja bahagian jualan dekat lapangan terbang. Dapat pula bahagian antarabangsa. Memang banyak gila dapat tips.
“Kadang tu mereka nak fly balik dah, semua duit Malaysia dia bagi macam tu je,” kongsi seorang wanita pula.
BACA: Pengasuh usia 66 tahun mengaku salah kerana letak ubat selsema dalam susu bayi umur 18 hari