Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, mengumumkan bahawa cuti hujung minggu di negeri Johor akan ditukar kepada hari Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025.
Tunku Mahkota Ismail menyatakan bahawa cadangan tersebut telah mendapat perkenan dan restu daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
“Setelah mendapat perkenan dan restu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim
serta pandangan daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), saya ingin mengumumkan bahawa mulai 1 Januari 2025,
cuti hujung minggu di negeri Johor akan ditukar kepada hari Sabtu dan Ahad,” titah baginda dalam satu hantaran di Facebook.
Sebelum ini, Johor telah beberapa kali mengubah hari cuti hujung minggu. Kali pertama Johor melaksanakan hujung minggu pada hari Sabtu dan Ahad adalah pada tahun 1994 ketika Muhyiddin Yassin menjawat jawatan Menteri Besar.
Namun, pada 1 Januari 2014, Sultan Ibrahim “mengembalikan tradisi” dengan menukar cuti mingguan negeri Johor kepada Jumaat dan Sabtu
sebagai penghormatan kepada hari Jumaat sebagai penghulu segala hari serta pengiktirafan terhadap agama Islam sebagai agama rasmi.
Dalam pada itu, Tunku Mahkota Ismail bertitah bahawa baginda telah mengarahkan Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi, dan mufti Johor untuk mengadakan perbincangan mengenai keputusan terbaru ini.
Baginda juga berharap agar semua syarikat, baik swasta mahupun kerajaan, memberikan ruang yang secukupnya untuk waktu solat Jumaat.
“Saya juga menitahkan agar Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, dan mufti negeri Johor mengadakan perbincangan dan meneliti perkara ini dari setiap sudut dan aspek.
Saya berharap agar semua syarikat swasta, pihak kerajaan, serta pihak berkaitan akan memberi ruang dan masa yang mencukupi untuk para pekerja Muslim menunaikan solat Jumaat pada waktunya,” titah baginda lagi.
BACA: Akhirnya Zizan pilih untuk tamatkan zaman bujang dengan gadis 16 tahun