Pemilik juga diarahkan untuk memindahkan kenderaan elektrik (EV) sekurang-kurangnya 15 meter dari mana-mana bahan mudah terbakar lain.
Sebuah kereta elektrik Tesla dilaporkan terbakar ketika disimpan di dalam sebuah garaj yang dimasuki air masin
akibat Taufan Helene di negeri Florida, menurut laporan akhbar New York Post semalam.
Dalam rakaman video kejadian, api dilihat mula menjalar dari bawah kenderaan elektrik itu
sebelum merebak ke seluruh bahagian kereta dalam masa kurang satu minit.
Rakaman daripada sistem televisyen litar tertutup (CCTV) di garaj tersebut menunjukkan ruang garaj dipenuhi asap tebal.
Beberapa pegawai pentadbiran Pinellas County telah menyiarkan video tersebut pada Sabtu lalu sebagai amaran
kepada pemilik-pemilik EV agar lebih berwaspada semasa Taufan Helene melanda Florida, Carolina Utara, dan beberapa negeri lain di tenggara Amerika Syarikat.
Amaran juga dikeluarkan untuk menggesa pemilik kereta dan basikal elektrik supaya mengambil langkah berjaga-jaga ketika berhadapan dengan gelombang ribut air masin, termasuk tidak meletakkan kenderaan mereka di dalam rumah atau garaj.
Sekurang-kurangnya 118 orang dilaporkan maut akibat Taufan Helene, dan angka ini dijangka akan meningkat.
BACA: Tidak dieksploitasi untuk kutip derma, Kerajaan perluas potensi TVET tahfiz dalam bidang penerbangan