Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) percaya bekas Menteri Pendidikan,
Dr. Maszlee Malik, mempunyai maklumat yang boleh membantu siasatan berkaitan projek 1BestariNet.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, menyatakan bahawa beliau telah mengarahkan pegawai penyiasat
untuk bertemu Maszlee kerana percaya bekas menteri tersebut memiliki maklumat penting untuk siasatan SPRM.
“Antara perkara yang ingin kita lihat adalah isu berkaitan dengan perkhidmatan, data, perolehan, dan sebagainya.
Kami juga bertanya kepada beliau (Maszlee) mengapa beliau mempunyai pandangan menentang kontrak ini disambung, dan sebagainya.
“Namun, terdapat beberapa perkara lain yang tidak dapat saya dedahkan di sini. Secara keseluruhan, itu antara skop yang kita tanyakan kepada beliau dan ada beberapa maklumat lain yang tidak boleh saya kongsikan di sini yang telah kami peroleh daripada beliau,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan selepas menjadi tetamu pada program Malaysia Hari Ini (MHI) di Sri Pentas, Bandar Utama hari ini.
Azam juga menyatakan bahawa semua maklumat yang diperoleh daripada pertemuan dengan Maszlee akan diambil tindakan lanjut oleh pihak SPRM.
Semalam, Azam mengesahkan bahawa pegawai penyiasat SPRM telah bertemu dengan Maszlee untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai projek tersebut minggu lalu.
Pada 6 September lalu, Maszlee dilaporkan mendedahkan bahawa isu 1BestariNet merupakan antara faktor yang membawa kepada peletakan jawatannya sebagai Menteri Pendidikan pada Januari 2020.
Maszlee mendakwa bahawa Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad, memintanya berbuat demikian atas permintaan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ketika ditanya sama ada terdapat dokumen yang diserahkan oleh Maszlee kepada SPRM semasa pertemuan itu, Azam mengesahkan terdapat beberapa dokumen yang diserahkan tetapi enggan mendedahkan butirannya.
“Setakat ini, belum ada tangkapan dan kami perlu menyiasat lebih lanjut. Kes ini, seperti yang pernah saya sebut, melibatkan antara kawasan yang telah kami kenal pasti, iaitu servis data yang diberikan kepada 8,000 sekolah.
“Kami sudah mengenal pasti sekolah dan kawasan tertentu yang kami jangka tidak dibekalkan data tetapi telah membuat tuntutan (bayaran). Jika benar ia berlaku tuntutan palsu, ia adalah satu kesalahan mengikut akta kami (Akta SPRM) sehingga bayaran dibuat,” katanya.
Jelas Azam, perkara ini akan menjadi fokus siasatan SPRM untuk memastikan sama ada benar terdapat tuntutan bayaran palsu atau sebaliknya.
Ketika ditanya sama ada pihak SPRM telah mengenal pasti sekolah yang dikaitkan dengan tuntutan palsu itu, Azam menyatakan siasatan akan dijalankan dalam masa terdekat.
“Belum ada sekolah yang dikenal pasti buat tuntutan palsu. Kami akan memulakan tidak lama lagi, di mana sekolah-sekolah berkenaan akan dilawati oleh pegawai penyiasat dengan dokumen tuntutan tertentu.
“Kami perlu melihat prasarana dan data yang telah dibekalkan pada ketika itu, untuk memastikan sama ada ia benar atau tidak. Banyak maklumat telah kami peroleh sebelum ini untuk disahkan daripada pihak sekolah tersebut.
“Kami tidak akan melawat semua 8,000 sekolah, tetapi kami akan ambil sampel dan kawasan tertentu untuk disiasat dan mengenal pasti apa masalahnya,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan SPRM telah memulakan siasatan ke atas tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet bernilai RM4 bilion yang dianugerahkan kepada YTL Communications Sdn Bhd (YTL) pada tahun 2011.
Difahamkan, siasatan itu bermula selepas SPRM melakukan penggeledahan di pejabat kerajaan dan pejabat YTL di ibu negara pada 4 September lalu.
BACA: ‘Melakukan perkara berkaitan agama lain’ Mufti Kelantan sekolahkan anak Muhyiddin