Nampak macam beras murah tapi harga RM450 sekilo, rupanya ini sebab ianya mahal!

Oleh MUHAMMAD KHAIRY JALALUDDIN

Bagi berjuta-juta orang di seluruh dunia, terutamanya di Asia, beras adalah makanan asas yang menjadi sumber utama karbohidrat.

Ia membekalkan tenaga yang diperlukan oleh tubuh untuk melaksanakan pelbagai aktiviti harian.

Beras memang terkenal sebagai makanan yang berkhasiat dan berpatutan, menjadikannya pilihan yang mudah diakses oleh pelbagai lapisan masyarakat

Mungkin orang ramai beranggapan bahawa semua jenis beras mempunyai manfaat yang sama, kelihatan serupa, dan memberikan rasa yang hampir sama.

Namun, jika anda sedang mencari beras yang ‘luar biasa’ dan berbeza daripada beras biasa, Kinmemai Premium adalah pilihan terbaik.

Nampak macam beras murah tapi harga RM450 sekilo, rupanya ini sebab ianya mahal!

Dihasilkan oleh Toyo Rice Corporation dari Jepun, beras eksklusif ini dipilih daripada lima jenis beras terbaik Jepun yang telah memenangi pelbagai anugerah.

Butir-butir beras ini menjalani proses penuaan rasa selama enam bulan menggunakan teknologi khas penggilapan beras yang dicipta lebih 17 tahun lalu.

Hasilnya, Kinmemai Premium bukan sahaja lebih berkhasiat berbanding beras biasa, tetapi juga mempunyai rasa lemak dan beraroma kacang.

Bentuk butir beras yang menyerupai berlian kecil ini adalah hasil teknologi penggilapan unik yang hanya membuang lapisan lilin yang tidak boleh dimakan

. Selain itu, beras ini dikatakan mengandungi khasiat yang tiada tandingan, termasuk enam kali lebih banyak lipopolisakarida (LPS).

LPS adalah sejenis bahan yang mampu meningkatkan sistem imun semula jadi dan membantu mengekalkan kesihatan serta melawan penyakit—berbanding beras putih biasa. Ia juga mempunyai 1.8 kali lebih serat dan tujuh kali lebih banyak Vitamin B1.

Beras ini juga tidak perlu dibilas sebelum dimasak dan mempunyai aroma serta rasa manis yang unik.

Kinmemai Premium menggunakan jenis beras yang terkenal seperti Koshihikari dan Pikamaru.

Butir-butir beras ini dipilih dengan teliti oleh pakar Toyo Corporation, dan petani yang menanamnya dibayar lapan kali lebih tinggi daripada petani biasa. Inilah antara sebab mengapa harga beras ini sangat tinggi.

Dikenali sebagai “beras terbaik di dunia”, Kinmemai Premium dijual dalam pek seberat 140 gram, dengan harga sekitar $120 (RM494.70) per kilogram.

Ia mencatatkan rekod sebagai beras paling mahal pada tahun 2016 dengan harga $109 (RM449.35) per kilogram, namun inflasi telah meningkatkan lagi harganya.

Pada mulanya, beras ini hanya dijual di Jepun, tetapi kini ia turut boleh didapati di Singapura. Walau bagaimanapun, Kinmemai Premium tidak sesuai untuk membuat sushi kerana kekurangan kandungan kanji yang diperlukan.

Bagi menikmati rasa manis dan lemaknya, beras ini disarankan untuk hidangan Jepun yang ringkas seperti ochazuke dan tamago kake gohan.

BACA: ‘Allah muliakan hang dengan ilmu, hang pula pi banding diri hang dengan penyanyi’