Keliru fungsi CCRIS dengan CTOS? Rupanya ramai yang ingat ada kuasa ‘blacklist’

Oleh AHMAD SULAIMAN

Sebelum anda bercadang untuk membuat pinjaman perumahan, adalah penting untuk memahami perbezaan antara CTOS dan CCRIS.

Ramai orang tidak tahu peranan sebenar kedua-dua entiti ini dan sering kali salah faham tentang fungsi mereka.

Tidak hairanlah, ada yang beranggapan bahawa kedua-dua CTOS dan CCRIS mempunyai kuasa untuk menyenarai hitam individu dengan rekod pinjaman yang buruk.

Tetapi, adakah benar mereka mempunyai kuasa untuk menyenarai hitam?

Mari kita lihat persamaan dan perbezaan antara kedua-duanya.

Keliru fungsi CCRIS dengan CTOS? Rupanya ramai yang ingat ada kuasa 'blacklist'

PERBEZAAN CTOS DAN CCRIS

1. Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS)

Laporan kredit Central Credit Reference Information System (CCRIS) disediakan dan diuruskan oleh Biro Kredit di bawah Bank Negara Malaysia (BNM).

Laporan CCRIS mengandungi pelbagai maklumat yang digunakan oleh institusi kewangan, seperti bank, untuk membuat keputusan mengenai permohonan pinjaman perumahan. Info yang boleh didapati dalam laporan CCRIS termasuk:

Semua pinjaman/kredit tertunggak
Akaun perhatian khusus yang dipantau rapat oleh institusi kewangan
Permohonan pinjaman yang telah lulus atau dalam proses dalam tempoh 12 bulan
Penting untuk difahami bahawa CCRIS tidak mempunyai kuasa untuk menyenarai hitam sesiapa. Ia hanya menyediakan maklumat dan data yang diperlukan oleh institusi kewangan untuk membuat keputusan. Info yang disediakan bukan sahaja tentang rekod buruk tetapi juga sejarah pembayaran yang baik.

2. CTOS Data Systems Sdn Bhd (CTOS)

CTOS adalah organisasi swasta yang menyediakan laporan kredit dari pelbagai sumber, seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Insolvensi Malaysia (JIM), notis dari akhbar, prosiding undang-undang, dan warta kerajaan.

CTOS digunakan secara meluas oleh bank dan institusi kewangan untuk menilai kelayakan kredit pemohon, sama ada individu atau syarikat. Antara maklumat yang boleh didapati dari laporan CTOS termasuk:

-Status muflis
-Tindakan undang-undang
-Status kes
-Pemilikan perniagaan dan maklumat lain

Sama seperti CCRIS, CTOS tidak mempunyai kuasa untuk menyenarai hitam sesiapa dan hanya menyediakan maklumat sahaja.

PERBEZAAN CCRIS DAN CTOS

Perbezaan utama antara CCRIS dan CTOS adalah sumber maklumat mereka. CCRIS adalah badan kerajaan di bawah Bank Negara Malaysia, manakala CTOS adalah syarikat swasta.

Cara pengumpulan maklumat juga berbeza. CCRIS mendapat info dari institusi kewangan di Malaysia, manakala CTOS mengumpulkan maklumat daripada sumber awam.

Kesimpulannya, maklumat dari kedua-dua CCRIS dan CTOS adalah sama penting kerana ia memberi gambaran tentang kelayakan kewangan dan reputasi anda sebagai peminjam.

Institusi kewangan yang sebenarnya membuat penilaian dan boleh menyenarai hitam permohonan anda sekiranya status CCRIS dan markah CTOS anda tidak memuaskan.

Persamaan:

CCRIS dan CTOS digunakan untuk menilai kelayakan pinjaman.

Perbezaan:

CCRIS: Laporan dari Bank Negara Malaysia dan info dari institusi kewangan.

CTOS: Laporan dari syarikat swasta dan info dari sumber awam.

BACA: Wan Ahmad Fahysal ‘terciduk’ dengan ahli parlimen Shah Alam dalam wacana sinar