Minah Saleh dedah realiti sebenar industri ‘influencer’ di Malaysia buat ramai terkedu

Oleh JUNITA ABD RAHIM

Kita pasti akan terbayang akan betapa mewahnya gaji dan mudah menerima sejumlah free gift

yang dihantar oleh pelbagai syarikat di luar sana apabila menjadi influencer.

Namun, realitinya tidak seindah yang disangka kerana hanya sebilangan kecil individu sahaja

yang benar-benar dapat menikmati gaji yang lumayan serta bekerjasama dengan syarikat terkenal.

Baru-baru ini, seorang wanita yang dikenali Lilith berkongsi sebuah video berkisarkan realiti sebenar industri influencer di Malaysia yang ramai tidak ketahui.

Minah Saleh dedah realiti sebenar industri ‘influencer’ di Malaysia buat ramai terkedu

Menurut Vocket, dia mendedahkan sudah tidak lagi mencipta konten di sini dan bakal berpindah ke Kuwait kerana merasa sudah tidak berbaloi untuk menjadi pencipta konten di sini.

Dia lalu menyenaraikan beberapa masalah yang dihadapi sepanjang menjadi influener atau pencipta konten di Malaysia.

Banyak syarikat tidak mahu bayar

Bagi dirinya, antara masalah utama yang membuatkan dia tidak berminat membuat konten di sini adalah kerana banyak syarikat yang tidak mahu membayar upah tugasan.

Wanita itu mendedahkan majoriti syarikat mengetahui bahawa pengaruh pencipta konten pada masa kini sememangnya bakal memberi nilai kepada perniagaan mereka.

@lilithonplanetearth Exposing the influencer industry in Malaysia to help the content creators that are still there ❤️ #malaysia #influencer #contentcreator ♬ original sound – lilithonplanetearth

Kebiasaannya syarikat di luar sana lebih gemar memberi free gift sahaja. Tambahnya, paling tidak balik modal adalah tawaran dari FNB dalam mengulas makanan dan seumpamanya.

Hal ini kerana mereka sebagai pencipta konten perlu mengeluarkan kos yang tinggi iaitu termasuklah kos untuk ke lokasi, menyediakan segala kelengkapan elektronik yang mahal seperti mikrofon berkualiti, mencari tempat tinggal, penyediaan skrip dan bahan untuk konten.

Tambahnya, boleh dikatakan kebanyakkan syarikat di luar sana sedia menghubungi para pencipta konten namun tidak berminat untuk melabur sedikit wang kepadanya.

“Syarikat menghubungi anda dan mereka tidak mahu membayar upah kepada anda,” katanya.

Semua memilih untuk memberi barangan atau makanan percuma tanpa memikirkan kos overhead dan susah payah pembikinan kandungan yang ditanggung oleh pencipta konten.

Kurang memberi hormat kepada profesion

Kemudian, dia turut mendakwa syarikat-syarikat di luar sana kurang menghormati profesion tersebut seperti kerja profesional yang lain.

Dalam bahasa mudahnya, mereka memandang pencipta konten sebagai satu kerjaya yang mudah dan boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja.

“Syarikat nampak nilai dan apa yang boleh diberikan oleh anda kepada mereka tetapi kemudian mereka tidak menghormati anda dengan memberi bayaran terhadap segala hasil kerja menerusinya,” luahnya lagi.

Lilith seperti tidak berpuas hati kerana syarikat nampak nilai yang dan faedah yang dibawakan oleh pencipta konten kepada mereka namun masih tidak mahu membayar kepada segala titik peluh dan usaha dalam menjayakan sesuatu projek.

Kurang sifat profesionalisme

Selain itu, wanita ini juga mendedahkan ada kalanya sebahagian syarikat atau klien mempunyai kekurangan dalam aspek profesionalisme di dalam urusan kerja.

Dia menceritakan pengalamannya sendiri di mana pada suatu ketika dahulu mahu bertemu seorang klien untuk menandatangani kontrak. Ketika dalam perjalanan ke lokasi, secara tiba-tiba klien membatalkan hasrat untuk berkerjasama dengannya.

Tidak sedar lantik pencipta konten lebih murah

Ujar Lilith lagi, sebahagian syarikat ini mungkin mengetahui secara langsung atau tidak yang pencipta konten sepatutnya menjadi pilihan ideal dalam mempromosikan bisnes mereka dengan kos yang lebih rendah.

Namun, dia merasakan syarikat-syarikat ini sebenarnya lebih mahu mengambil kesempatan ke atas pencipta konten walaupun realitinya mereka boleh berjimat lebih banyak dengan melantik mereka berbanding bergantung dengan cara tradisional.

Dia bagaimanapun menyatakan masih mempunyai pengalaman yang baik dengan segelintir syarikat yang benar-benar menghargai pencipta konten malah sedia memberi bayaran walaupuun projek masih belum berjalan lagi.

Bagaimanapun, jumlah syarikat sedemikian adalah jauh lebih kecil dan majoritinya masih melihat pencipta konten sebagai satu kerja amal pula tanpa perlu menerima sebarang bayaran.

Lilith berharap dengan pendedahan ini bakal mengubah landskap industri influencer di Malaysia dan ramai pencipta konten mendapat pembelaan yang sewajarnya lebih-lebih lagi dalam isu pembayaran untuk hasil kerja mereka.

BACA: Patutlah lama kena sidai, rupanya ramai tak berhenti atas petak sensor traffic light