Usia bukan penghalang, lelaki umur 70 tahun graduan tertua didunia

Oleh INFORAKYAT

“Saya tidak pernah terfikir untuk menjadi doktor semasa kecil. Namun, selepas bertemu dengan dua pelajar perubatan muda dari India

semasa bercuti di Kyrgyzstan, saya mula berfikir mungkin saya boleh mencuba,” kata Toh semasa bersantai di sebuah kafe di Hong Kong.

Selepas bersara dari kerjaya korporatnya dalam bidang jualan teknologi pada tahun 2019, Toh memutuskan untuk mencabar dirinya dengan memohon ke universiti perubatan di seluruh Asia.

Walaupun menghadapi had umur di kebanyakan universiti (biasanya antara 35 hingga 40 tahun), beliau tidak berputus asa.

Akhirnya, Southwestern University di Filipina membuka pintu peluang untuk beliau pada usia 65 tahun.

Usia bukan penghalang, lelaki umur 70 tahun graduan tertua didunia

Dalam temubual bersama CNN, Toh mengakui bahawa perjalanan untuk menamatkan pengajian perubatan bukanlah sesuatu yang mudah.

“Saya pernah berfikir saya tidak akan mampu meneruskan. Setiap kali saya hampir putus asa, saya akan fikir ‘sayang’ jika tidak menyelesaikan apa yang telah saya mulakan,” katanya sambil tersenyum.

Sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan merupakan faktor utama yang mendorong beliau untuk terus berjuang.

Pelajar-pelajar lain yang jauh lebih muda turut memberi semangat, sering memanggilnya dengan gelaran hormat “Sir Toh.”

Sepanjang lima tahun belajar, beliau menghadapi pelbagai cabaran.

Pada tahun ketiga, beliau terpaksa mengulang satu tahun selepas gagal dalam ujian pediatrik.

Selain itu, tahun akhir pengajiannya dipenuhi dengan latihan praktikal di hospital selama 30 jam tanpa henti.

Namun begitu, Toh tidak pernah meminta sebarang layanan istimewa.

“Beliau sangat berdedikasi dan tidak pernah mengalah. Kami semua terinspirasi dengan semangatnya,” kata Dr Marvi Dulnuan-Niog, Dekan Fakulti Perubatan Southwestern University.

Dilahirkan di sebuah ladang getah di Malaysia, Toh membesar seperti keluarga-keluarga lain.

Setiap pagi, beliau bersama adik-beradiknya akan bangun seawal 4 pagi untuk menoreh getah sebelum ke sekolah.

“Kami tidak mempunyai cita-cita besar masa itu, cuma ingin hidup lebih baik daripada apa yang kami ada,” katanya.

Tekad beliau akhirnya membawa beliau ke University of Bradford di Britain, di mana beliau menyambung pengajian dalam bidang kimia dan kejuruteraan kawalan.

Untuk menampung perbelanjaan pengajian, Toh pernah bekerja sebagai pemungut sampah di London.

Bagi beliau, pekerjaan tersebut tidak pernah dianggap hina kerana “bayarannya lumayan.”

Walaupun telah mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, kejuruteraan, dan perniagaan, beliau memilih untuk kembali ke bangku sekolah bagi mengejar ilmu perubatan.

Bagi Toh, mempelajari perubatan adalah satu cabaran baru yang membawa arah tuju berbeza dalam hidupnya.

“Kalau saya tidak menjadi doktor pun, sekurang-kurangnya saya boleh menjaga kesihatan sendiri,” katanya berseloroh.

BACA: Pengutip derma pun dah tak selamat? Kerajaan setuju pinda undang-undang