Pengutip derma pun dah tak selamat? Kerajaan setuju pinda undang-undang

Oleh MOHD FAHMI MUSTAQIM

Kerajaan telah bersetuju untuk meminda Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 [Akta 258] dan Akta Pemegang Amanah 1949 [Akta 208]

bagi mengelakkan penyelewengan dana oleh badan pemegang amanah yang ditubuhkan untuk tujuan keagamaan, sosial, dan kebajikan.

Persetujuan ini dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Menurut kenyataan dari Pejabat Perdana Menteri, pindaan kepada Akta 208 akan merangkumi tafsiran mengenai pemunya benefisial,

iaitu individu yang menerima manfaat daripada badan amanah tersebut.

Pengutip derma pun dah tak selamat? Kerajaan setuju pinda undang-undang

Sementara itu, pindaan kepada Akta 258 akan melibatkan penetapan peraturan berkaitan pendedahan maklumat, konflik kepentingan, dan sumber dana. Pindaan ini juga akan memberi kuasa untuk meningkatkan pemantauan, pengesahan, dan pemeriksaan laporan serta penyeliaan dana.

“Kebenaran pindaan ini dalam Mesyuarat JKKTN adalah selaras dengan usaha kerajaan untuk memperkukuh tatakelola, integriti, dan membanteras rasuah.

Ini termasuk memberi perhatian serius terhadap isu profesionalisme agensi penguat kuasa yang memberi persepsi negatif kepada orang awam,

serta isu rasuah yang melibatkan perolehan kerajaan dan penyalahgunaan dana awam, terutamanya oleh entiti yang menerima dana daripada kerajaan,” menurut kenyataan tersebut.

Kenyataan juga menyebut bahawa mesyuarat bersetuju dengan cadangan untuk menggalakkan semua syarikat gred G7 yang mempunyai

Sijil Perolehan Kerja Kerajaan (SPKK) mendapatkan pensijilan MS ISO 37001 Anti-Bribery Management System (ABMS). Syarikat-syarikat ini juga akan diberi keutamaan dalam perolehan kerajaan bagi kontrak bernilai RM100 juta ke atas untuk tempoh dua tahun pertama.

Inisiatif ini menyokong prinsip liabiliti korporat di bawah Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

“Kerajaan sekali lagi menegaskan iltizam untuk memperkasa tatakelola dan integriti serta menyokong penuh agenda pembanterasan rasuah nasional.

Setiap usaha yang diambil bertujuan memastikan tatakelola dan integriti sektor awam terus diperkukuh demi kepentingan negara dan rakyat,” menurut kenyataan tersebut.

BACA: “2 tahun suami ada perempuan lain, dia tak bagi nafkah, tak ada pula aku cari laki lain…”