Pemandu lori dapat beli Honda Civic Type R, kongsi pengalaman manisya kepada anda

Oleh CHE HUSNA KAMARUZZAMAN

Seorang pemandu lori tidak menyangka kereta idamannya iaitu Honda Civic Type R yang sering dilihat gah setiap kali meluncur di jalan raya akhirnya menjadi miliknya.

Menurut lelaki berkenaan, tugasnya sebagai pemandu lori membuatkannya sering berulang-alik dari Pulau Pinang ke Johor Bahru bagi menghantar anak ayam dan itik.

Namun setiap kali melakukan perjalanan sejauh hampir 1,500 kilometer itu, pemandu lori tersebut sering kali berselisih dengan kenderaan Honda Civic Type R di jalan raya.

Perkara ini menyebabkan keinginannya untuk memiliki kereta idamannya itu semakin membuak-buak hingga bertindak menghubungi rakan yang juga jurujual kenderaan.

“Aku seorang pemandu lori . Seminggu dua kalilah berulang-alik dari Pulau Pinang ke Johor Bahru, 1500 kilometer pergi dan balik untuk hantar anak ayam, itik dan lain-lain.

Pemandu lori dapat beli Honda Civic Type R, kongsi pengalaman manisya kepada anda

“Dalam perjalanan pergi atau balik, mesti selisih dengan kereta Honda Civic Type R. Lawa betul bentuk dia. Lebar, besar dan garang. Terfikir juga, boleh ke pemandu lori macam aku beli kereta macam ini. Sudahlah mahal.

“Cuba-cuba tanya kawan sebab dia ada buat urusan jual beli kereta. Sengajalah cuba-cuba, dia pula hantar gambar kereta itu. Terus suruh dia tengok boleh lepas tak. Teringin sangat-sangat,” katanya.

Tular di media sosial, perkongsian berkenaan dibuat oleh pemandu dikenali sebagai Syafiq itu menerusi satu hantaran dimuat naik di akaun TikTok miliknya, @syafiqje94.

Rakan Syafiq yang merupakan jurujual itu kemudian membantunya untuk mencarikan kereta Honda Civic Type R tersebut, sesuai dengan bajet ditentukan iaitu RM240,000.

“Hantar penyata bank, sengaja mencuba-cuba. Sekiranya lepas, Alhamdulillah. Kalau tak, anggap sahaja tiada rezeki. Sekali kawan beritahu pinjaman sudah diluluskan untuk kereta idaman itu.

“Masa ini seronok ada, takut pun ada. Iyalah, seronok sebab dapat kereta idaman. Takut sebab beli secara pinjaman. Ragu-ragu juga kalau setiap bulan mampu bayar atau tidak.

“Selepas itu kawan hantar gambar kereta, sudah siap katanya. Masuklah duit untuk tempah kereta itu. Dia racun suruh masuk nombor (pendaftaran kenderaan) dua digit. Tetapi sekadar racun sahaja, saya tak termakan pun,” kongsinya.

Sebaik sahaja kenderaan tersebut selesai diperiksa, Syafiq terus membuat bayaran pendahuluan sebelum kereta Honda Civic Type R berkenaan dihantarkan kepadanya.

Difahamkan, kereta tersebut dihantarkan ke kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Elmina berikutan tugas Syafiq sebagai pemandu lori menghalangnya untuk bergerak bebas.

“Selesai bayar pendahuluan, kereta siap masuk pendaftaran kenderaan. Sedia untuk diambil. Dalam perjalanan dari Johor Bahru nak balik Pulau Pinang, singgah ambil kereta di R&R Elmina arah utara.

“Tak sempat nak ambil dekat kedai kereta sebab saya bawa lori, tak bolehlah nak ke sana dan sini. Jadinya jurujual hantar kereta dekat sini. Jadi baliklah ke Pulau Pinang dengan memandu kereta Honda Civic FK8 Type R.

“Wah, macam tak percaya pemandu lori boleh pakai kereta macam ini. Tahun ini sudah nak masuk setahun pakai. Rasanya sudah tiba masa untuk ‘upgrade’. Sekian.” Ujarnya.

Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pelayar TikTok turut terinspirasi menonton perkongsian ‘abang lori’ berkenaan dengan rata-ratanya mengimpikan dapat memiliki kereta juga suatu hari nanti.

Baca juga: Lelaki meninggal dunia selepas kerja lebih masa selama 104 hari, cuti hanya sehari