Kerajaan telah menubuhkan Sekretariat Kajian Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan untuk menangani isu
pertindihan fungsi dan penjimatan dana negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, sekretariat tersebut akan segera bertugas dalam usaha kerajaan melaksanakan pembaharuan dalam perkhidmatan awam.
“Saya baru-baru ini telah memutuskan untuk Kementerian Kewangan, mewakili kerajaan secara keseluruhan,
untuk membentuk jawatankuasa dua hala yang bertanggungjawab dalam mengemaskini rasionalisasi badan berkanun.
“Terlalu banyak badan berkanun yang bertindih fungsi, jadi rasionalisasi bermakna mengurangkan pembaziran dan belanja,” katanya pada Majlis Perhimpunan Bersama Warga Kementerian Kewangan, hari ini.
Yang turut hadir adalah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
Semalam, ketika berucap kepada warga Jabatan Perdana Menteri, Anwar menjelaskan bahawa September akan menjadi bulan perubahan dan pembaharuan yang lebih besar dalam kalangan kakitangan awam.
Perdana Menteri menegaskan bahawa semua pihak perlu berusaha untuk meningkatkan kecekapan ke tahap 95 peratus.
Untuk itu, katanya, semua penjawat awam perlu melakukan yang terbaik dalam membawa perubahan ke arah kebaikan dan tidak sekadar kekal di tahap sederhana.
Anwar juga mengarahkan agar langkah-langkah pembaharuan dalam pentadbiran awam dilaksanakan dengan segera bagi memastikan usaha tersebut dapat berjalan dengan lebih berkesan.
“Penggabungan agensi dan jabatan masih belum memuaskan, pertindihan perjawatan, dan beberapa aspek lain masih tidak berada pada tahap yang memuaskan.
“Laporan daripada ketua jabatan, ketua pengarah, dan ketua unit mengenai kelembapan serta kecuaian beberapa pegawai juga masih belum memuaskan,” katanya.
Selain itu, Anwar berkata usaha kerajaan dalam melaksanakan pembaharuan turut melibatkan pemantauan dan penelitian terhadap semua lantikan jawatan dalam lembaga pengarah badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Perdana Menteri mengingatkan bahawa jawatan bukanlah habuan, dan segelintir individu yang memegang jawatan tersebut sering bermegah dengan kemewahan sedangkan ia adalah dana rakyat dan negara.
“Sebab itu pemantauan perlu lebih teliti. Apabila melantik pengerusi baharu, mereka perlu memastikan kemudahan seperti kereta dan pejabat tidak perlu diubah jika sudah memadai,” katanya.
Beliau juga memberi peringatan kepada mana-mana wakil Kementerian Kewangan (MOF) dalam badan berkanun yang tidak melaporkan pelanggaran peraturan kewangan bahawa mereka akan diharamkan daripada lantikan di masa hadapan.
“Jika terdapat kecelaruan dalam mana-mana agensi, wakil MOF tersebut akan diharamkan daripada memegang mana-mana jawatan dalam lembaga pengarah badan berkanun selepas itu.
“Ini adalah tanggungjawab. Jika arahan tidak dilaksanakan, keadaan yang tidak memuaskan akan berterusan,” tegasnya.