Seorang lelaki berjaya mencuri perhatian ramai selepas membuat satu perkongsian mengenai cara penjimatan elektrik menerusi akaun Facebook miliknya, baru-baru ini.
Walaupun rumahnya memiliki penghawa dingin dan peti sejuk beku, namun lelaki itu mendakwa bil elektrik hariannya tidak pernah lagi mencecah RM3 pada hari bekerja.
Oleh yang demikian, lelaki itu tampil berkongsi cara penggunaan barangan elektrik di rumahnya agar orang ramai juga dapat mengurangkan kos pembayaran bil bulanan.
“Sebelum ini, saya suka membaca tips yang orang kongsi nak jimatkan penggunaan elektrik.
Terbukti ada kurang di dalam bil bulanan. Jadi saya nak kongsi penggunaan elektrik di rumah sendiri pula.
“Dalam rumah saya ada empat orang, dua dewasa serta kanak-kanak yang berusia empat dan satu tahun. Bil elektrik harian pada hari bekerja dalam RM1.50 sehingga RM2.30. Kalau hari minggu, RM3 hingga RM3.50.
“Setakat ini paling tinggi RM90. Selepas saya amalkan tips ini, kadang-kadang makin berkurang RM70 hingga RM80 sahaja,” katanya dalam hantaran tersebut yang turut berkongsi tiga petua utama.
Tutupkan suis peralatan elektrik jika tidak digunakan
Beli peralatan jenis ‘inverter’ sekiranya perlu digunakan selama 24 jam
Hadkan penggunaan peralatan dengan bantuan peranti pemasa (timer).
Berikut cara penggunaan peralatan elektrik yang dicadangkan oleh lelaki berkenaan dalam hantaran sama.
1. Penghawa dingin inverter empat bintang (1hp) – penggunaan dari jam 8 malam hingga 7 pagi. Kalau hari minggu mula pukul 9 malam hingga 10 pagi.
2. Peti sejuk jenis inverter empat bintang – dibuka selama 24 jam.
3. Peti sejuk beku lima bintang – dipasang 24 jam.
4. Penapis air – dibuka daripada pukul 5 petang hingga 12 malam 12 malam. Jam 5 pagi buka semula hingga 8 pagi sahaja. Guna timer untuk pantau penggunaan elektrik.
5. Mesin basuh hanya digunakan dua hari sekali sahaja.
6. Ketuhar gelombang mikro dan penggoreng kering (air fryer) hanya diguna apabila perlu. Tutup suis jika tidak digunakan.
7. Televisyen tiga bintang – buka pukul 8 malam sampai 12 malam sahaja.
8. Kipas lima biji (semua lima bintang) – buka apabila perlu sahaja.
9. Lampu (semua LED) – guna tenaga rendah sahaja, buka apabila perlu. Satu lampu sahaja buka daripada 7 malam hingga 7 pagi secara automatik menggunakan timer palam elektrik pintar.
Baca juga: Lagi kes mendapan tanah, jalan Bandar Rawang 2 pula ditutup