Pelakon kontroversi, Zarina Anjoulie kembali menjadi sorotan ramai selepas rakaman memaparkannya menjalani pembedahan pada bahagian hidung tular di media sosial.
Zarina kemudian memuat naik video di akaun Instagram miliknya untuk menunjukkan perubahan wajahnya sebelum dan selepas menjalani pembedahan plastik tersebut.
Hantaran itu bagaimanapun menimbulkan rasa kurang senang di kalangan segelintir pengguna media sosial malah turut mengundang kecaman ramai terhadap dirinya.
Bukan sahaja dianggap tidak bersyukur kerana mengubah kejadian Tuhan,
warganet juga menyifatkan hidung asli milik pelakon terbabit lebih cantik berbanding sekarang.
Terbuka menerima teguran, pelakon berusia 36 tahun itu mengakui bersetuju untuk menjalani prosedur tersebut di sebuah klinik di Vietnam demi menjana pendapatan.
Pemilik nama sebenar Zarina Anjoulie Lavocah Mohd. Fahizul itu juga berharap orang ramai memahami bahawa perkongsian dibuat adalah sebahagian daripada kontrak.
“Minta maaf semua, saya buat perkongsian bukan sebab nak buka aib sendiri atau tak hormat semua. Tetapi pembedahan itu ditaja sepenuhnya oleh doktor tersebut. Dia bayar saya untuk datang dan berikan token.
“Tolong faham inilah punca rezeki saya. Walaupun tak banyak, duit ini juga saya nak bawa balik untuk bayar yuran sekolah dan mengaji anak serta membeli barang dapur.
“Saya bukan nak beli beg baharu atau kereta mewah dan tayangkan kepada semua. Saya juga bukan nak bangga dan riak. Ini kerja saya. Jadi saya minta maaf jika perkongsian itu menyakitkan hati anda,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.
Zarina bagaimanapun bersyukur dan berterima kasih kerana masih ramai pengikut serta pengguna media sosial tempatan sudi untuk memberikan teguran terhadapnya.
Terdahulu, ibu tunggal anak satu itu berkongsi video dipercayai ketika berada dalam bilik pembedahan sambil menunjukkan keadaan hidung baharunya yang masih berbalut.
Pelakon yang lebih mesra disapa Anju itu memaklumkan pembedahan rekonstruktif pada hidungnya berjalan dengan lancar dan kini perlu berehat untuk beberapa hari.
Zarina juga berpendapat bahawa hasil pembedahan tersebut berjaya kerana tiada lagi benjolan di tengah hidung yang membuatkannya lebih yakin untuk menjalani pengambaran.