Seorang pemuda berusia 19 tahun menjadi bualan netizen selepas tangkap layar perbualan WhatsAppnya dengan seorang jurujual kereta tular di media sosial.
Dalam perbualan tersebut, dia bertanyakan tentang pinjaman penuh untuk membeli kenderaan, walaupun gajinya hanya sekitar RM1,100 sebulan.
Apa yang menarik perhatian adalah keinginannya untuk membeli kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X50,
walaupun pada awalnya dia bercadang untuk membeli Proton X70. Namun, setelah menyedari bayaran bulanan yang tinggi, dia menukar pilihan kepada X50.
Jurujual berkenaan menasihatinya agar mempertimbangkan jenis kereta lain kerana bayaran bulanan SUV itu melebihi gaji bulanannya.
“Ramai anak muda sekarang ingin kereta ‘berjenama’. Kebanyakan mereka yang berumur 17 hingga 21 tahun mahu Proton X50, Honda Civic, Toyota Vios, dan Honda City.
Bila disarankan membeli Perodua Axia atau Proton Saga, mereka tidak berminat. Ini benar-benar cabaran bagi generasi sekarang,” kata jurujual tersebut.
Di ruangan komen, pelbagai reaksi diberikan oleh netizen. Rata-ratanya menegur sikap segelintir anak muda yang sanggup menghabiskan wang semata-mata untuk memiliki kereta mewah.
“Suruh dia buat lesen dulu. Lesen pun dah dekat RM1,500,” seloroh @a.a.b.k.
“Orang muda sekarang suka bersaing tentang kereta siapa yang lebih hebat. Sedangkan gaji baru RM2,000. Setiap bulan banyak duit untuk kereta mahal, sampai terpaksa ikat perut dan minta duit mak ayah untuk belanja lain,” kata Jefryy.
“Biar papa, asal bergaya. Sesuai sangat dengan situasi ini. Tapi apa-apapun, ukur baju di badan sendiri,” pesan Syakila.
BACA: Ingatkan kembar dua, wanita usia 25 tahun lahirkan anak kembar sembilan!