Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak akan mengambil peduli terhadap bantahan
golongan elit terhadap pembinaan projek rumah mampu milik di sekitar ibu negara.
Menurutnya, kediaman untuk golongan berpendapatan rendah perlu dibina kerana mereka juga merupakan pekerja di Kuala Lumpur.
“Setiap kali kita melaksanakan projek perumahan rakyat, pasti ada bantahan dari golongan elit, termasuk untuk Taman Desa ini.
Ada kawan-kawan saya yang meminta supaya kebersihan dijaga dan keselesaan diberikan kepada mereka yang berpendapatan tinggi.
“Tetapi, golongan miskin nak tinggal di mana? Saya tidak akan pedulikan bantahan sebegini. Kawasan untuk orang miskin dan berpendapatan sederhana tentunya mempunyai budaya yang berbeza.
“Jadi, di mana mereka (golongan berpendapatan rendah) nak tinggal jika tidak disediakan rumah kos rendah? Nak suruh mereka tinggal di Hutan Melintang?” kata Anwar ketika berucap pada majlis perasmian dan pecah tanah Residensi Suria Madani di Taman Desa.
Sebelum ini, dilaporkan bahawa penduduk membantah projek perumahan berkepadatan tinggi yang dianggap sebagai ‘pembangunan berlebihan’ di kawasan tersebut.
Dalam pada itu, Anwar menyeru rakyat supaya bersatu dan menghayati semangat kemerdekaan dengan tidak meminggirkan golongan berpendapatan rendah.
Katanya, kejayaan sesebuah bandar bergantung kepada keupayaan kerajaan dalam memenuhi kepentingan rakyat secara menyeluruh.
“Kita perlu tolak ansur dan bertanggungjawab untuk memastikan kawasan perumahan yang lebih luas dan selesa untuk golongan berkenaan,” katanya.
Beliau juga memaklumkan bahawa syarat bagi pembinaan projek perumahan akan datang perlu merangkumi keselesaan hidup, kehijauan kawasan, kemudahan rekreasi, dan kemudahan untuk rakyat.
BACA: Didakwa jadi dalang sindiket pemerdagangan manusia, ini respon bekas Timbalan Menteri