Spesies burung Pelanduk Kalimantan yang dilaporkan ‘hilang’ selama 172 tahun akhirnya ditemui semula di hutan Kalimantan.
Penemuan burung ini ternyata mengejutkan penduduk Kalimantan Selatan. Kehilangan spesies burung yang dikenali dengan
nama saintifik Malacocincla Perspicillata dianggap sebagai ‘misteri terbesar dalam sejarah zoologi Indonesia’.
Penyelidik sangat gembira dengan penemuan ini, yang dianggap sebagai langkah penting dalam penyelidikan dan pemuliharaan spesies terancam di Indonesia.
Burung tersebut ditemui secara tidak sengaja oleh dua penduduk Kalimantan Selatan, Muhammad Suranto dan Muhammad Rizky Fauzan, pada Oktober tahun lalu.
Suranto dan Rizky Fauzan pada asalnya sedang mengumpul hasil hutan di kawasan yang tidak jauh dari tempat tinggal mereka.
Ketika sedang mencari hasil hutan, mereka menemui burung yang tidak pernah mereka lihat sebelum ini dan merakam beberapa gambar.
Mereka kemudiannya menghubungi peminat burung tempatan dan mendapati bahawa spesies burung tersebut adalah Pelanduk Kalimantan yang telah dianggap pupus.
Penemuan ini kemudiannya dikongsi dengan pakar zoologi Indonesia.
“Kami rasa tidak percaya kami telah menemui spesies burung yang dianggap sudah pupus oleh penyelidik.
Ketika menemuinya, kami tidak menyangka burung ini begitu istimewa,” kata Rizky Fauzan seperti yang dilaporkan oleh portal BBC Indonesia.
BACA: Wanita berjaya kumpul 5 angka duit anak dalam setahun, tanpa sedar berjaya kumpul RM12600!