‘Macam filem Terminator’ Senjata Ai buat keputusan ambil nyawa manusia jadi realiti

Oleh INFORAKYAT

Dunia perlu bersatu untuk mengekang kebangkitan ‘robot pembunuh’ atau menghadapi ‘masa depan yang dahsyat’ di mana orang awam di seluruh dunia

akan berada dalam bahaya, kata seorang pemimpin hak asasi manusia, menurut laporan akhbar Daily Star kelmarin.

Sistem persenjataan autonomi berasaskan kecerdasan buatan (LAWS) yang sedang dibangunkan berkemampuan

untuk memilih dan menyerang sasaran berdasarkan pemprosesan sensor tanpa campur tangan manusia.

Keupayaan ini memberikan mesin kebebasan untuk mengambil nyawa manusia kerana sasaran LAWS ditentukan oleh data yang diterima dan diproses tanpa unsur belas kasihan.

Dron LAWS sedang dibangunkan di seluruh dunia dan telah digunakan di medan tempur di Afrika Tengah.

Senjata ini beroperasi tanpa menghiraukan undang-undang antarabangsa kerana keputusan untuk membunuh dibuat oleh robot dan bukannya manusia.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa pemimpin-pemimpin dunia untuk menandatangani perjanjian yang melarang penggunaan persenjataan LAWS.

Timbalan Pengarah Krisis, Konflik dan Senjata kumpulan hak asasi Human Rights Watch (HRW), Mary Wareham, berharap keputusan untuk mengharamkan senjata tersebut dapat dibuat pada perhimpunan agung PBB bulan depan.

“Tanpa undang-undang yang jelas, dunia berdepan masa depan yang kelam di mana pembunuhan autonomi oleh robot ini meletakkan orang awam dalam bahaya di mana sahaja mereka berada,” kata Wareham.

Beliau menjelaskan bahawa pemimpin-pemimpin dunia kini menyedari malapetaka akibat memansuhkan kawalan manusia ke atas sistem persenjataan.

“Terdapat sokongan meluas di peringkat antarabangsa untuk menangani kebimbangan ini.

Ini sepatutnya mendorong kerajaan-kerajaan di seluruh dunia untuk berunding tanpa berlengah lagi,” tambah Wareham.

Beliau membuat gesaan itu selepas Setiausaha Agung PBB, António Guterres, menerbitkan laporan yang menuntut satu perjanjian antarabangsa dimeterai untuk ‘mengharamkan sistem persenjataan yang berfungsi tanpa kawalan manusia dan tidak mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa.’

“Masa semakin suntuk untuk masyarakat antarabangsa mengambil tindakan pencegahan mengenai isu ini. Kita perlu bertindak segera untuk mengekalkan kawalan manusia terhadap penggunaan kekerasan,” kata Guterres dalam amaranannya.

Beliau berharap pemimpin-pemimpin dunia akan bersetuju dengan ‘pakatan untuk masa depan’ untuk melarang pembangunan robot pembunuh semasa sidang kemuncak PBB pada 22 September ini.

Setakat ini, pakar-pakar percaya LAWS pernah digunakan dua kali iaitu sekali dalam konflik dan sekali lagi semasa latihan.

Pada tahun 2020, tentera yang disokong kerajaan Libya menggunakan dron Kargu-2 buatan Turkiye semasa bertempur dengan militia musuh. Menurut laporan PBB, dron tersebut ‘memburu dan menyerang’ musuh dari jauh dan memilih sasaran sendiri.

Jumlah korban tidak diketahui, tetapi beberapa pakar menyatakan dron tersebut tidak dapat membezakan sasaran tentera daripada orang awam.

Pada Mei tahun ini, tentera Amerika Syarikat menguji dron autonomi Triton di Libreville, Gabon dalam latihan antilanun. Dron ini menggunakan pengimbas dan penderia resolusi tinggi untuk mengumpul risikan secara sendiri dan melancarkan tindakan balas.

Dron tersebut mempunyai varian udara dan laut serta boleh berada di bawah air selama seminggu.

Pakar-pakar bimbang teknologi LAWS boleh jatuh ke tangan rangkaian pengganas.

Beberapa dron canggih telah hilang dalam operasi memerangi keganasan, termasuk kehilangan tiga dron MQ-9 Reaper oleh militia Houthi di Yemen pada Mei lalu, serta dron MQ-1 Predator di Libya dan Niger.

BACA: ‘Bachok, USA’ Exco Kelantan koyak dengan Amran Fans