Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan menuntut penjelasan daripada pengendali halaman
Facebook Amran Fans mengenai tujuan dan niat sebenar mereka memuat naik semula rakaman video hiburan tanpa lesen yang berlaku lebih setahun lalu.
Video tersebut memberikan gambaran yang kurang baik tentang penduduk Bachok dan penguat kuasa Majlis Daerah Bachok,
seolah-olah membenarkan persembahan kurang senonoh oleh penyanyi wanita secara terbuka di depan khalayak tanpa sebarang lesen dan permit hiburan kata Hilmi.
“Sedangkan persembahan wanita sedemikian sudah lama tidak dianjurkan oleh mana-mana pihak dan penyanyi wanita
tersebut juga sudah lama tidak aktif dalam persembahan sedemikian serta telah berhijrah ke arah yang lebih baik,” katanya.
Video berdurasi 29 saat itu dimuat naik di Facebook Amran Fans semalam, dengan kapsyen ‘Bachok, USA’, dan mendapat reaksi lebih 5,000 pelbagai tanda emoji serta hampir 500 perkongsian, dengan tontonan melebihi 500,000 kali.
Berdasarkan rakaman kejadian itu yang menunjukkan program persembahan dikir barat di hadapan rumah penduduk, persembahan tersebut diiringi muzik moden.
Hilmi, yang merupakan Adun Guchil, menyedari perkara ini pagi tadi selepas menerima panggilan dan mesej dari orang ramai yang memohon penjelasan mengenai rakaman video tersebut.
Menurutnya, video ini masih tular dan beliau telah menghubungi Yang Dipertua Majlis Daerah Bachok untuk menjalankan siasatan segera mengenai video yang sedang tular dan disyaki berlaku di Bachok.
“Hasil semakan mendapati rakaman persembahan tersebut telah berlaku lebih setahun yang lalu dan dimuat naik semula oleh Amran Fans yang mempunyai jumlah pengikut sebanyak 361,000 orang.
“Kebanyakan komen dalam posting tersebut menggambarkan bahawa hiburan tanpa permit tersebut baru berlaku semalam,” katanya.
Tambahnya, penganjuran hiburan tersebut jelas bertentangan dengan Enakmen Hiburan dan Kawalan Tempat Hiburan Negeri Kelantan 1998 serta menyalahi Garis Panduan Kawalan Hiburan 2003 dan pekeliling negeri Bil 4/2003, dan boleh dikenakan hukuman di bawah enakmen yang sama.
“Saya juga memohon kerjasama semua pihak untuk membuat laporan dan menyalurkan maklumat segera kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai sebarang maklumat mengenai penganjuran pesta-pesta hiburan yang dibuat secara haram tanpa lesen dan permit hiburan yang sah di Kelantan,” kata Hilmi.
BACa: Rahsia kejayaan perniagaan Al-Arqam masih bertahan sampai sekarang ramai tak tahu