Ganjaran bernilai RM50,000 menanti jaguh taekwondo, Randy Owen Augistine sekali gus menjadikannya atlet terkaya dalam kontinjen Sarawak setakat ini.
Hal ini berikutan pencapaiannya yang cemerlang dalam meraih tiga pingat emas dan satu perak menerusi acara taekwondo di kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) 2024.
Ganjaran tersebut adalah satu bentuk insentif diberikan kerajaan negeri Sarawak
kepada semua atlet mewakili negeri berkenaan yang berjaya memenangi pingat dalam kejohanan dwitahunan itu.
Sebelum ini, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg selaku Premier Sarawak mengumumkan
bahawa semua atlet negeri itu yang berjaya meraih pingat menerusi temasya SUKMA dan Para SUKMA akan diberikan insentif.
Ganjaran berjumlah RM15,000 telah disediakan kerajaan negeri untuk setiap pingat emas yang dimenangi manakala peraih pingat perak pula akan menerima RM5,000.
Tidak ketinggalan, Abang Johari di dalam pengumuman sama turut memaklumkan insentif RM3,000 juga akan diberikan kepada atlet yang memenangi pingat gangsa.
Terdahulu, Randy beraksi cemerlang dalam gelanggang taekwondo apabila muncul sebagai pemenang pingat emas untuk acara poomsae berpasukan lelaki, individu lelaki dan berpasukan gaya bebas.
Menerusi empat pingat dimenanginya, Randy tidak hanya meraih ganjaran RM50,000 malah turut berpeluang menjadi olahragawan SUKMA Sarawak jika pencapaiannya itu tidak digugat peserta lain.
Untuk rekod, Sarawak selaku tuan rumah mengungguli carta kutipan pingat SUKMA 2024 dengan mengumpul keseluruhan 13 emas setakat artikel ini ditulis berdasarkan senarai rasmi menerusi laman web kejohanan itu.
Sekadar info, temasya SUKMA Sarawak 2024 berlangsung hingga 24 Ogos ini membabitkan 488 acara di dalam 37 jenis sukan yang terdiri dari 236 acara lelaki, 217 wanita dan 35 acara campuran.
Penganjuran kali ini bertemakan Matlamat Perpaduan Membara iaitu menekankan kesepakatan dan masyarakat majmuk walaupun terdiri daripada latar belakang berbeza.