Demi menyelamatkan rumah tangganya dengan suami tercinta, seorang wanita nekad bertindak drastik supaya ‘orang ketiga’ di dalam perkahwinan mereka berundur.
Wanita dikenali sebagai Sally itu bagaimanapun langsung tidak terburu-buru dalam membuat sebarang keputusan, sebaliknya telah menjalankan ‘siasatan’ terlebih dahulu.
Berharap agar isteri di luar sana lebih berani berhadapan dengan suami curang, berikut adalah perkongsian Sally mengenai strateginya menyelamatkan perkahwinan.
“Hai semua, nama aku Sally. Dua bulan sebelum kami berkahwin, suami secara tiba-tiba berterus terang yang dia berkenalan seseorang melalui aplikasi ‘dating’.
Wanita itu aku gelarkan sebagai Serai. Selama enam tahun kami bercinta secara jarak jauh, akhirnya ini perbuatan dia kepada aku. Alasannya sebab lama sangat tunggu aku.
“Kononnya suami sengaja cuba aplikasi itu. Sakit dada aku menangisi perbuatannya. Katanya hubungan itu sudah diputuskan. Cumanya dia nak jujur dengan aku sebelum kami berkahwin. Itu sahaja. Dia pujuklah aku. Aku ingatkan dia jangan berhubung lagi dengan Serai. Berbekalkan cinta, kami selamat berkahwin dua bulan kemudian.
“Kami bahagia dengan kehidupan perkahwinan ini. Namun kelihatan dari mata suami seperti pudar untuk aku. Cinta kami seperti diganggu, mukanya gelisah seperti putus cinta. Aku berdoa, menangis-nangis meminta Tuhan kembalikan cinta suami untukku sepenuhnya. Aku mula ingin tahu siapa perempuan yang dia berhubungan dahulu.
“Hanya Serai namanya yang aku tahu. Maklumatnya terlalu terhad untuk aku siasat. Telefon suami juga berkunci. Aku hanya boleh tengok kalau dia bukakan. Aku katalah yang suami isteri tak sepatutnya ada rahsia. Responnya, minta aku percayakan yang dia bukan sejenis mudah curang. Kecurangan itu dia hanya berlaku sebelum kahwin.
“Bertegas betul kenyataan suami waktu itu. Serba salah pula aku asyik menuduh dia curang. Hingga masuk lima bulan perkahwinan, aku terpandang di skrin nama penuh Serai di telefon suami. Sakit dada aku kembali lagi. Rupa-rupanya dia berhubung lagi dengan perempuan itu. Marahlah aku. Tetapi air mata ini sudah hilang.
“Suami cakap mereka berhubung kerana hal perniagaan. Aku minta dia jangan guna alasan itu untuk terus berhubung. Dia pula yang marah kepada aku waktu itu kerana terlalu cemburu. Akhirnya malam itu berakhir dengan kemarahannya. Aku mula ingin menyiasat lebih lanjut gerangan Serai itu dengan berbekalkan nama penuhnya.
“Aku buat carian di Google dan sosial media. Aku jumpa juga Serai. Cantik dan muda daripada aku. Berpenampilan muslimah yang seksi. Macam mana? Bertudung tetapi singkat sehingga menyingkap dada. Berpakaian seperti pinjam baju adik. Mungkin ini yang menjentik kelakian suami aku. Bermulalah aku ikuti Serai guna akaun palsu.
“Kebanyakan hantaran Serai, merintih putus cinta. Aku tersenyum banggalah sebab suami memilih cinta kami berbanding dia yang hanya kenal enam bulan. Esoknya aku memujuk suami. Mohon maaf sebab cemburu bukan-bukan. Aku anggap kemarahan dia mungkin berpunca kerana diriku yang masih lagi meragui kepercayaannya.
“Jadi, aku mengalah dengan suami. Kami teruskan kehidupan seperti biasa sehingga sembilan bulan perkahwinan. Aku terpandang dia ketika sedang menaip kata laluan di telefon. Aku hafal. Waktu dia tidur, aku senyap-senyap buka. Seorang lelaki hantar mesej dengan ungkapan sayang dekat dia. Siap memuji lagi. Aku ambil nombor itu.
“Selepas aku siasat, Allah. Terkejutnya aku, luluh hati. Nombor Serai rupanya! Modus operandi suami sama macam dalam drama. Simpan nombor guna nama lelaki dalam kurungan, rakan sekerja. Aku geram. Kali ini aku tak akan berdiam. Aku hantar mesej dekat Serai, sekali gambar-gambar dia yang bergaya melintuk riuk mendada itu.
“Pakej dengan kata-kata tulisan cercaan. Laga aku sepertinya Along conteng rumah!Serai respon. Bersahaja dia jawab. Tetapi dia tak berhenti menghubungi telefon aku. Namun aku tak jawab. Aku tahan kemarahan terhadap suami. Dia mesti tahu melalui Serai yang akan menghubungi dia. Esoknya, aku malas untuk balik kerja awal.
“Serabut. Jadi aku pergi kerja bawa seluar jogging. Kononnya nak bersenam selepas habis kerja. Tetapi sayang, petang itu hujan. Terpaksa juga balik awal dan berdepan dengan suami. Dia bukakan pintu rumah tersengih-sengih. Tetapi tak pandang muka aku sangat ketika bercakap. Muka dia nampak macam cuak sebab sudah kantoi.
“Tetapi terpaksa berlakon macam tenanglah. Aku jeling suami. Jelingan paling tajam untuk dia. Kemudian dia tidur. Senyap-senyaplah aku ambil telefon dia, hantar mesej dekat Serai lagi. Kali ini aku hantar pula gambar Serai yang tak bertudung dan seksi. Aku ugut nak tularkan gambar itu dekat ayah dia ke, ibu ibu dia atau siakap keli?
“Betul, ibu ibu. Sebab ayahnya kahwin ramailah. Serai anak isteri bernombor. Bercita-cita nak warisi sikap penyondol. Umpan aku mengena. Serai emosi. Lagak bersahaja dia sudah menjadi hangin. Terus berderinglah telefon suami. Dia terjaga. Tetapi aku yang angkat. Aku bentak suami. Terkulat-kulat dia. Direbutnya telefon itu dari aku.
“Kemudian suami matikan panggilan. Maka bermulalah kemarahan aku ini. Waktu itu, dia sudah bagaikan musuh. Aku tanya, namun dia hanya memujuk tanpa menjawab persoalan itu. Air mata berlinangan. Nafas aku turun naik. Tangan juga mulalah naik. Kesabaran aku hilang. Aku tampar suami berkali-kali. Aku tunjal-tunjal kepala dia.
“Aku jerit, ‘Jujur jawab soalan aku!’. Beraku kau. Berkasar aku dengan suami. ‘Sayang jangan macam ini, sudahlah sayang’, kata dia ketika cuba merangkulku. Aku tolaklah. Geram sebab sebelum ini aku dituduh kuat cemburu. Kali ini terbongkar semua. Aku bertanya kenapa dia sanggup tipu aku. Berapa kali aku nak menangis sebab ini?
“Aku soal lagi adakah nak berkahwin dengan perempuan itu? Katanya tiada niat pun. Habis itu, buat apa berhubungan lagi. Siap berkongsi gambar. Semua yang wanita itu miliki, ada pada aku. Kenapa cari kasih sayang yang haram sedangkan aku isterinya yang halal. Buat apa dia solat tunggang terbalik. Lebih baik langgan GRO terus.
“Senyap suami mendengar kata-kata herdikan aku. Dirangkulnya aku. Menangis aku tersedu-sedan dalam pelukan dia. Keluarlah kata-kata mahal dari mulut dia, pertama kali dalam hubungan kami selama ini. Kata dia, ‘Sayang abang minta ampun, minta maaf’. Aku hanya beri kata dua waktu itu. Satu ialah berikan kata laluan telefon dia.
“Kalau tak pilihan keduanya, aku akan tularkan semua gambar kejalangan Serai! Jadi suami akur. Akhirnya, malam itu aku diberitahu kata laluannya walhal sudah tahu dari awal. Aku rahsiakan. Dia juga rakam video, berjanji tak akan ulangi kelakuannya demi meraih kepercayaan aku semula. Pergaduhan berakhir dengan solat maghrib berjemaah.
“Aku ambil tangan suami, tunduk bersalaman. Memohon ampun atas kekasaran aku tadi. Aku peluk dia. Walau apa-pun, dia suami aku. Aku maafkan dia malam itu. Bagi aku, masalah kena hadap. Aku sudah dapat jawapan darinya. Dia masih sayangkan perkahwinan kami. Jadi, aku tidak mahu menghukum dia secara berterusan.
“Aku perlu melihat kebaikan suami yang lain. Solat lima waktu, mengimamkan solat aku dan tak pernah culas tunaikan nafkah. Pemurah, berbelanja isteri. Bil-bil semua dia bayarkan. Kerja rumah buat sama-sama. Aku masak, kemas rumah. Dia uruskan pakaian kami. Basuh dan sidai kain, malah turut gosokkan juga baju kerja kami.
“Paling penting, suami bersabar dengan emosi aku yang terpukul dia. Kalau dia tak sabar, lunyai juga badan kecil aku ini. Aku bersyukur. Anggap ini ujian Allah. Rumah tangga mana yang tak dilanda badai. Buat isteri di luar sana yang berhadapan suami curang, kuatkan hati berkomunikasi dengan pasangan. Jangan pendam.
“Jangan lari dari masalah. Berfikirlah sebaiknya, adakah kamu bersedia ditinggalkan atau meninggalkan mahligai perkahwinan itu. Kepada para suami, ingatlah sekiranya telefon kamu berkunci. Kami tahu akal kamu panjang sampai mana. Lama-kelamaan, Allah bukakan juga petunjuk untuk isteri. Juga khusus kepada penyondol diluar sana.
“Bersedialah untuk muka anda terpampang di laman sosial media dengan kapsyen, ‘Lihatlah muka PENYONDOL ini’. Maka, mahkamah sosial kehakiman netizen menanti!.” Kongsi Sally (Bukan nama sebenar) menerusi satu hantaran yang dimuat naik di sebuah forum popular di atas talian.