Pasukan Polis Marin (PPM) telah menahan dua lelaki bersama 200 kotak minyak masak yang disyaki cuba diseludup ke negara jiran, semalam.
Kedua-dua suspek, yang berusia antara 28 hingga 31 tahun, ditahan oleh PPM Lahad Datu semasa pemantauan di Jalan Bakapit, Tungku, sekitar pukul 11 pagi.
Pegawai Pemerintah PPM Lahad Datu, Superintendan Rohizan Mohamad Saaid,
berkata bahawa ketika mereka memantau lokasi tersebut, mereka mendapati sebuah lori jenis Isuzu dalam keadaan mencurigakan.
“Ketika kami menghampiri lori tersebut, lori itu berpatah balik di Simpang Bagahak.
Kami kemudiannya menahan lori tersebut di tepi jalan Bakapit, Tungku.
“Hasil pemeriksaan mendapati bahagian belakang lori yang ditutup dengan kanvas mengandungi 200 kotak minyak masak,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, pemandu dan kelindan lori gagal mengemukakan sebarang dokumen pengesahan pemilikan barang-barang bersubsidi tersebut.
Katanya, aset dan minyak masak itu dirampas mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Semua barang tersebut disyaki cuba diseludup ke negara jiran. Jumlah keseluruhan rampasan adalah bernilai RM62,700.
“Tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk tindakan lanjut,” katanya.