Tak sangka rupanya ada tempat yang dilarang gantung bendera Malaysia

Oleh JUNITA ABD RAHIM

Bersempena Hari Kemerdekaan yang akan disambut pada bulan ini, rakyat Malaysia pastinya teruja mengibarkan Jalur Gemilang di premis atau rumah masing-masing.

Namun tahukah anda, tidak semua tempat awam dibolehkan untuk mengibar atau menggantungkan bendera Malaysia secara terbuka tanpa mendapatkan kebenaran.

Malah pemilik bendera juga boleh berdepan dengan denda, hukuman penjara atau kedua-duanya sekali sekiranya mereka telah didapati bersalah berbuat sedemikian.

Antara lokasi yang mempunyai larangan untuk mengibar atau menggantungkan Jalur Gemilang adalah di sekitar tempat awam di negara seberang tambak iaitu Singapura.

Baru-baru ini, penghuni blok kediaman milik Lembaga Pembangunan dan Perumahan (HDB) Singapura dikritik ekoran menggantung Jalur Gemilang di luar unit bangunan.

Tak sangka rupanya ada tempat yang dilarang gantung bendera Malaysia

Lebih mengeruhkan keadaan, Jalur Gemilang itu digantungkan bersebelahan dengan bendera Singapura seperti yang dipaparkan dalam rakaman tular di platform TikTok.

Untuk makluman, Hari Kebangsaan Singapura juga turut disambut bulan ini lebih tepatnya pada 9 Ogos lalu untuk memperingati kemerdekaannya daripada Malaysia pada tahun 1965.

@thesgdaily Malaysia boleh 😮#ndp #ndp2024 ♬ We Will Get There (Sing Singapore2002 Theme Song) – Sun Yan-Zi

Rakaman itu telah menimbulkan kemarahan di kalangan rakyat Singapura yang berpendapat bahawa pemilik bendera Malaysia terbabit tidak menghormati undang-undang negara.

Mengikut Akta Lambang Negara Asing 1949, lambang asing termasuklah bendera adalah dilarang sama sekali untuk dipamerkan terutamanya di tempat awam di Singapura.

Sekiranya didapati bersalah, individu yang mempamerkan lambang asing boleh dikenakan denda sehingga SG$500 (sekitar RM1,681) atau penjara maksimum selama enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Larangan seperti ini juga sebenarnya wujud di Malaysia di mana bendera luar negara tidak boleh digantungkan atau dikibar sesuka hati tanpa mendapatkan kebenaran pihak berkuasa.

Terdahulu, seorang lelaki tempatan yang berusia 30 tahun dipenjara enam bulan dan didenda RM500 di Mahkamah Majistret Marang, Terengganu atas kesalahan mempamer bendera Israel pada Oktober tahun lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 8(1)(i) akta sama.

Baca juga: ‘Taraf-taraf orang asli jela penyokong’ Cikgu Sekolah agama hina masyarakat Orang Asli