Rupanya ini habuan pegawai Imigresen dapat hasil ‘setting’ kaunter khas KLIA

Oleh CHE HUSNA KAMARUZZAMAN

Penguat kuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA1) dan Terminal 2 (KLIA2)

Dia dipercayai menerima suapan antara RM500 hingga RM2,500 daripada sindiket untuk melepasi pemeriksaan melalui ‘kaunter khas’.

Menurut sumber, hasil risikan menunjukkan bahawa jumlah suapan yang diterima oleh penguat kuasa yang terlibat berbeza mengikut kewarganegaraan.

“Bayaran rasuah paling rendah adalah sekitar RM500 bagi warga Uzbekistan, manakala bayaran tertinggi adalah RM2,500 bagi warga Bangladesh.

Terdapat juga perbezaan bayaran bagi kumpulan warga asing dari negara lain seperti Indonesia, China, Vietnam, Pakistan, India, Myanmar, dan Yemen,” katanya.

Rupanya ini habuan pegawai Imigresen dapat hasil 'setting' kaunter khas KLIA

Untuk mengelakkan komunikasi mereka dikesan, penguat kuasa dan sindiket menggunakan beberapa kod nama khas seperti ‘school boy’, ‘salak’, ‘limau’, ‘laici’, ‘karpet’, ‘kicap’, ‘roti canai’, ‘junta’, dan ‘ayam’.

“Kod-kod ini merujuk kepada kewarganegaraan kumpulan warga asing yang akan masuk ke negara ini melalui laluan kaunter khas yang telah diatur,” jelas sumber itu.

Tambah sumber, mereka juga menggunakan kod sulit ‘lembu’ untuk merujuk kepada pembayaran wang rasuah yang diterima daripada sindiket.

“Kod nama ‘durian’ merujuk kepada upah kepada pegawai penguat kuasa di KLIA1 dan KLIA2 yang akan melepaskan kumpulan warga asing tersebut,” katanya.

Menurutnya, melalui modus operandi ini, pegawai penguat kuasa di kedua-dua terminal akan menerima senarai nama serta gambar pasport kumpulan warga asing yang akan tiba ke negara ini melalui aplikasi WhatsApp daripada sindiket.

“Setibanya kumpulan warga asing tersebut, mereka akan diarahkan untuk pergi ke kaunter tertentu bagi tujuan pelepasan masuk dan diberikan cop menetap selama 30 hari atau cop terbuka untuk menetap selama tujuh hari,” katanya.

Beliau berkata, selepas urusan kemasukan selesai, sindiket akan membuat bayaran wang rasuah secara tunai atau melalui pindahan ke dalam akaun perbankan pegawai penguat kuasa yang terlibat, atau ke akaun proksi atau syarikat tertentu dalam tempoh satu hingga dua hari.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, mengesahkan bahawa operasi sedang dijalankan di KLIA1 dan KLIA2 berhubung isu kemasukan warga asing melalui modus operandi ‘counter setting’ atau laluan kaunter khas, dan tidak menolak kemungkinan akan ada tangkapan selanjutnya.

“SPRM sedang mengesan pegawai penguat kuasa lain yang terlibat dan dijangka ramai lagi akan dipanggil untuk membantu siasatan. Namun, warga asing yang mendapat layanan melalui modus operandi ini telah pun hilang dan sukar dikesan.

“Inilah yang menyebabkan penambahan pekerja tanpa permit di negara ini. Mereka bukan datang untuk melawat tetapi untuk mencari pekerjaan tanpa melalui proses mendapatkan permit yang sewajarnya,” katanya.