Menggemparkan apabila tukang cuci profesional yang diupah untuk mengemas rumah seorang lelaki Jepun
terjumpa rangka manusia yang kemudiannya dikenalpasti sebagai ibu kandung pemilik kediaman itu yang hilang sejak sedekad lalu.
South China Morning Post (SCMP) melaporkan, penemuan mengejutkan di wilayah Kyoto, Jepun itu menarik perhatian netizen di China.
Lelaki muda tersebut mengupah sebuah syarikat pembersihan untuk membersihkan empat bilik tidurnya, yang digelar sebagai rumah sampah.
Rumah tersebut pernah didiami bersama ibu bapa dan kakaknya, dengan tidak seorang pun berminat untuk mengemas kediaman itu.
Namun, lelaki itu tinggal bersendirian di rumah itu selepas ibunya ‘hilang’ kira-kira 10 tahun lalu.
Bapanya meninggal dunia beberapa tahun kemudian dan kakaknya berpindah untuk bekerja.
Memandangkan dia mendapat pekerjaan baharu dan ingin berpindah, lelaki itu mengupah syarikat pembersihan profesional yang menghantar lapan pekerja untuk menyelesaikan kerja tersebut dalam masa tujuh jam.
Bagaimanapun, selepas tiga jam bekerja, pekerja-pekerja tersebut membuat penemuan mengejutkan.
Ketika mereka mengangkat selimut dan tilam lama, mereka terlihat tulang manusia dan pada awalnya, mereka menyangka ia adalah model rangka manusia sebelum memaklumkan kepada pemilik rumah.
Mengesyaki rangka itu milik ibunya, pemilik rumah tersebut segera menghubungi polis, yang kemudian mengesahkan perkara itu.
Lelaki itu berkata, ibunya mungkin meninggal dunia di dalam bilik.
Menurutnya lagi, ibunya sering meninggalkan rumah selama berhari-hari tanpa sebarang notis dan jarang bercakap dengan sesiapa.
“Kemungkinan ibu saya kembali selepas beberapa hari pergi dan tiada sesiapa dalam keluarga yang menyedarinya.
“Oleh kerana rumah itu dipenuhi dengan sampah yang berbau busuk, tiada siapa yang menyedari bau yang luar biasa,” katanya.
Punca kematian dan sebarang kemungkinan tindakan undang-undang terhadap keluarga tersebut belum didedahkan.
Kerja pembersihan akhirnya selesai pada bulan Februari lalu, dan ia menelan belanja 500,000 yen (kira-kira RM15,027).