Wanita tolak rezeki RM 1 juta, nekad tutup akaun bank

Oleh AHMAD SULAIMAN

“Lelaki itu juga memasukkan wang ke beberapa akaun bank saya, menyebabkan saya terpaksa menutup akaun-akaun tersebut.

Seorang ibu tunggal mendakwa hidupnya penuh trauma akibat dihantui seorang ahli perniagaan bergelar ‘Datuk Seri’

yang didakwa telah menghantar ribuan e-mel kepadanya dan menawarkan wang RM1 juta jika beliau mahu mengandungkan anak lelaki tersebut.

Wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Chan, 46, berkata beliau bertemu lelaki berusia 50-an itu ketika bekerja sebagai ejen hartanah pada tahun 2017.

“Pada awalnya, saya selesa berkawan dengan lelaki tersebut, tetapi kemudian dia mula menunjukkan sikap agresif yang menyebabkan saya menjauhkan diri darinya.

Wanita tolak rezeki RM 1 juta, nekad tutup akaun bank

“Namun, tindakan itu menyebabkan dia semakin kerap menghubungi saya, malah menghantar e-mel setiap hari, serta makanan dan bunga ke rumah,” dakwanya pada sidang media di Jabatan Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA hari ini.

Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Ketua Jabatan Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong, dan Penasihat Undang-Undang jabatan itu, Marcus Chong.

Chan mendakwa lelaki itu juga menceroboh privasinya dengan mengaku mengetahui maklumat peribadi beliau, termasuk nombor akaun bank dan pergerakannya setiap hari.

“Bagi saya, tindakan lelaki yang sudah berkahwin itu adalah tidak normal kerana kadangkala dia meluahkan kata-kata cinta tetapi pada masa lain, dia mengugut serta memfitnah saya.

“Selain itu, dia juga pernah menghantar gambar tidak senonoh kepada saya dan menawarkan RM1 juta jika saya mahu mengandungkan anaknya,” dakwa Chan.

Wanita itu mendakwa hingga kini, dia telah menerima lebih 2,000 e-mel daripada lelaki tersebut sepanjang tempoh tujuh tahun perkenalan mereka.

“Saya buntu dengan situasi ini kerana ia jelas mengganggu kehidupan saya sebagai ibu tunggal bersama anak-anak yang turut hidup dalam ketakutan.

“Saya merayu lelaki itu supaya tidak lagi mengganggu kehidupan saya, ahli keluarga serta individu di sekeliling kami,” katanya, sambil memaklumkan bahawa dia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu tersebut dan sedang mendapatkan nasihat daripada peguam.

Sementara itu, Michael Chong berkata pihaknya telah menerima dua aduan daripada Chan mengenai gangguan yang didakwa dilakukan oleh lelaki tersebut.

“Kali pertama kami menerima aduan daripada Chan ialah pada tahun 2021. Ketika itu, saya juga telah memanggil lelaki terbabit untuk membincangkan isu ini.

“Ketika datang ke pejabat saya pada tahun 2021, lelaki itu membawa bunga untuk diberikan kepada Chan tetapi beliau menolak pemberian tersebut,” katanya.

Beliau berkata pihaknya menyangka isu tersebut akan selesai selepas perjumpaan itu, namun Chan mendakwa masih diganggu oleh individu yang sama hingga kini.

BACA: Patutlah wanita Thailand punyai kulit cantik halus dan gebu, tak sangka ini rahsianya