Halal dan haram dalam Islam adalah perkara yang harus diambil serius oleh setiap penganut agama ini.
Namun, terdapat situasi di mana isu ini disalahgunakan oleh pihak tertentu, menyebabkan kekeliruan dan kegelisahan dalam kalangan masyarakat.
Melalui satu ciapan tular di laman X, seorang wanita meluahkan rasa kecewa apabila ibu bapanya menjadi panik
selepas mendengar ceramah agama yang mengingatkan orang ramai agar berhati-hati menggunakan penapis air kerana didakwa mungkin mengandungi tulang babi.
Menurut wanita tersebut, kuliah agama itu disampaikan oleh seorang ustaz terkenal yang tidak didedahkan identitinya dan kemudian dimuat naik ke YouTube.
“Saya habiskan masa sepanjang pagi menjelaskan kepada mak dan ayah bagaimana penapis air berfungsi. Mereka risau penapis air kami ada tulang babi, semuanya kerana satu ceramah di YouTube,” katanya.
Wanita itu turut menyatakan bahawa penapis air biasanya menggunakan karbon aktif, dan ustaz tersebut merujuk kepada teknologi lama yang dikenali sebagai bone char, yang digunakan untuk menapis kandungan florida. Teknologi ini, katanya, sudah tidak digunakan lagi di Malaysia.
“Sedikit terkilan dengan cara penyampaian ustaz tersebut kerana ia mencetuskan ketakutan dalam kalangan pendengar, terutama apabila melibatkan isu halal dan haram. Tajuk video itu juga sensasi, seperti ‘Hati-hati membeli penapis air, saya takut diperbuat daripada…’ dan dibiarkan tergantung begitu sahaja untuk menarik perhatian penonton,” tambahnya.
Wanita tersebut menegaskan bahawa sebagai seorang figura berpengaruh, penceramah perlu berhati-hati dengan setiap kandungan yang dikongsikan.
“Sampaikan mesej secara jelas dan tulus tanpa menakutkan penonton. Jelaskan sahaja bahawa prosedur halal di Malaysia telah mengharamkan penggunaan sistem penapis jenis bone char atas sebab-sebab tertentu. J
ika ibu bapa panik, kita pula yang terpaksa mengganti penapis air. Mohon sampaikan dakwah secara beretika,” katanya.
Di ruangan ciapan balas, ramai pengguna lain turut bersetuju dengan teguran yang diberikan.
“Ya, mungkin dalam video tersebut ada penjelasan penuh, tetapi ramai orang, terutamanya golongan warga emas, malas untuk mendalami keseluruhan video jika ia panjang, jadi mereka hanya membaca tajuk sahaja.
Jika tajuk pun sudah sensasi, ramai yang akan terjerat dalam salah faham. Penapis air yang dibeli di Malaysia, InsyaAllah, bebas daripada bahan haram, tetapi kalau dibeli terus dari China, mungkin perlu lebih berhati-hati,” kata sebahagian daripada mereka.
BACA: Berang ramalan nombor ekor tak mengena, lelaki nekad belasah Sami