‘Saya letak jawatan bukan sebab Zahid, tetapi sebab..’ Tun M jawab Zahid Hamidi

Oleh CHE HUSNA KAMARUZZAMAN

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa peletakan jawatannya yang menyebabkan kejatuhan

pentadbiran Pakatan Harapan (PH) empat tahun lalu tidak ada kaitan langsung dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Dr Mahathir, tindakan tersebut juga tidak berkaitan dengan nasihatnya kepada Ahmad Zahid untuk membubarkan UMNO.

Sebaliknya, punca utama peletakan jawatan itu adalah kerana partinya, BERSATU, menunjukkan bahawa mereka ‘sudah hilang kepercayaan terhadapnya’.

“Biasanya, apabila seorang pemimpin tidak lagi diberi kepercayaan oleh pengikutnya, adalah wajar untuk dia meletakkan jawatan secara terhormat, dan itulah yang saya lakukan.

'Saya letak jawatan bukan sebab Zahid, tetapi sebab..' Tun M jawab Zahid Hamidi

“Ahmad Zahid tidak perlu menganggap dirinya sebagai hero yang menjatuhkan saya dan menyelamatkan UMNO.

“Ahmad Zahid bukanlah seorang hero, dia hanya seorang yang menghadapi tuduhan di mahkamah dan sanggup bekerjasama dengan musuh ketat UMNO iaitu DAP untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri demi menyelamatkan dirinya daripada dibicarakan atas kesalahannya,” katanya dalam satu hantaran di laman sosialnya hari ini.

Sebelum ini, laporan Berita Harian melaporkan Ahmad Zahid secara terbuka mengakui bahawa beliau adalah dalang utama yang terlibat dalam usaha menggulingkan Dr Mahathir untuk menyelamatkan UMNO daripada diharamkan.

Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri, menyifatkan tindakan luar biasa itu penting untuk menentang Dr Mahathir yang didakwanya ketika itu mahu membatalkan pendaftaran UMNO.

Dakwanya, perkara itu juga disahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa kertas untuk mengharamkan UMNO sudah berada di atas meja Menteri Dalam Negeri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dr Mahathir menjelaskan bahawa Ahmad Zahid sendiri datang berkunjung ke pejabatnya tidak lama selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 yang menyebabkan kejatuhan UMNO.

“Dia datang berjumpa dan saya beritahu kepadanya UMNO sudah kalah. Sekarang UMNO sudah tidak relevan kerana tidak berpegang kepada asas perjuangan parti, sebaliknya telah menjadi sebuah parti yang berjuang untuk wang (Cash is King).

“(Jika) tidak berpegang kepada asas penubuhan UMNO, itu bukan UMNO yang sebenarnya. Saya kata adalah lebih baik kalau UMNO tidak diteruskan, tetapi dia tidak bersetuju. Jadi, terpulang kepadanya apa yang hendak dilakukan,” katanya, yang pernah memimpin UMNO selama lebih dua dekad.

Peletakan jawatan Dr Mahathir pada Februari 2020 berlaku selepas BERSATU, yang ketika itu merupakan sebahagian daripada komponen PH, memutuskan kerjasama dengan gabungan itu.

Beberapa pimpinan utama PKR kemudiannya menyertai BERSATU untuk membentuk kerajaan baharu dalam apa yang dikenali sebagai ‘Langkah Sheraton’, yang turut disertai beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN).

Peristiwa ini berlaku selepas pemimpin PKR, DAP, dan Amanah terus memberikan tekanan kepada Dr Mahathir untuk memberi ruang kepada Anwar mengambil alih jawatan sebagai Perdana Menteri.

BACa: ‘Saya tiada masalah, asalkan guna untuk tambah baik kemudahan sekolah’ Ibu bapa Melayu tiada masalah dengan penajaan kilang arak