Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-77,
kira-kira tiga bulan sebelum ulang tahun kedua pelantikannya sebagai Perdana Menteri ke-10.
Sambutan tersebut diserikan dengan ucapan selamat daripada pelbagai pihak, termasuk pemimpin asing yang menyampaikan mesej muhibah dan sokongan.
Antara yang turut mengucapkan selamat adalah rakan sejawatan dari Singapura, Lawrence Wong, yang menyampaikan salam mesra dan ucapan selamat maju jaya.
Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr., juga menghantar ucapan hari jadi kepada Anwar melalui pesanan video,
sementara Presiden Timor-Leste, Jose Ramos-Horta, mendoakan agar Anwar terus sihat.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui hantaran di Facebook rasmi turut memuat naik serangkap pantun.
“77 angka keramat, iltizam membara seiring usia, moga teguh memikul amanat, Allah berkati hidup bahagia.
“Selamat ulang tahun kelahiran buat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” catat PMO dalam hantaran tersebut.
PMO juga memuat naik video berdurasi 2 minit 49 saat yang mengandungi ucapan hari jadi daripada dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, serta menteri-menteri Kabinet.
Rakyat Malaysia turut menyampaikan ucapan kepada Perdana Menteri dalam video berdurasi satu minit 38 saat, memanjatkan doa untuk kesihatan, kekuatan, dan daya tahan Anwar dalam memimpin negara menuju masa depan yang lebih makmur dan maju.
Tidak ketinggalan, Datuk Seri Najib Razak, yang kini sedang menjalani hukuman penjara sejak 2020, turut mengirimkan ucapan dan doa.
“Selamat menyambut ulang tahun kelahiran ke-77 kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Semoga dipermudahkan segala urusan, terus diberkati dan sentiasa dalam lindungan-Nya,” tulis Najib dalam hantaran di Facebook semalam.
Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020 selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan, dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Keputusan tersebut dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021, serta oleh panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, pada 23 Ogos 2022.
Bagaimanapun, pada Februari lalu, Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan, dan Putrajaya memutuskan pengurangan hukuman penjara sebanyak 50 peratus. Hukuman penjara Najib dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Sekiranya denda tersebut tidak dibayar, tempoh penjara Najib akan ditambah setahun, dengan tarikh pembebasan beliau dijadualkan pada 23 Ogos 2029.
Baca :Nyanyian ‘Allah Selamatkan Kamu’ buat PM dari M Nasir undang reaksi netizen