Seorang wanita berusia 28 tahun tidak pernah menyangka bahawa dirinya bakal jatuh cinta dengan seorang duda yang sudah mempunyai tiga orang anak.
Menjalinkan hubungan secara rahsia, wanita tersebut merasa khuatir jika ahli keluarganya tidak dapat menerima kehadiran duda yang sebaya dengan ibunya itu.
Wanita dikenali sebagai Puteri itu juga masih tidak yakin bahawa dirinya sudah bersedia untuk menjadi ibu tiri kepada anak kekasihnya yang lebih berusia daripadanya.
Belum membuat keputusan untuk menentukan masa depannya, berikut adalah perkongsian daripada Puteri yang mencari jalan agar masalahnya dapat diselesaikan.
“Aku Puteri, berumur 28 tahun dan bekerja dalam sektor kerajaan. Aku daripada latar belakang keluarga yang agak konservatif.
Ada kawan perempuan yang sangatlah rapat. Sampai ke keluarga dia, semuanya aku kenal dan mereka juga mengenaliku. Perbezaan umur aku dengan kawan itu agak jauh. Dekat 20 tahun juga.
“Tetapi perbezaan itu kami tak rasakan. Dia belum kahwin. Kami dan kawan-kawan yang lain memang selalu jadikan dia sebagai rujukan. Kawan aku itu memiliki pengetahuan dalam banyak perkara. Tetapi masalahnya sekarang, aku sudah jatuh cinta dengan abang dia. Sebaya pula dengan mak aku. Abang kawan aku itu duda.
“Isteri dia meninggal akibat kemalangan selepas terlantar sakit selama setahun. Lelaki itu sudah menduda hampir lima tahun sebelum kami berkenalan. Dia ada anak tiga orang. Semua sudah besar dan ada dua orang yang lebih tua daripada aku. Mula-mula curi pandang sahaja, lama-lama terjatuh hati.
“Tambah lagi apabila si duda itu berpindah dekat dengan tempat aku bekerja. Tetapi aku tak pernah keluar sekalilah dengan dia. Mesti ada kawan aku juga. Mak dan ayah dia nampak macam senang sahaja dengan kehadiran aku. Disebabkan tinggal jauh daripada keluarga sendiri, jadi aku memang selalu melawat mereka.
“Abang kawan aku itu pula pada awalnya, curi pandang sahaja. Selepas aku berani tegur dahulu, baru dia mula bercakap. Tidak lama selepas itu kami terserempak dan bertukar nombor. Mula dari tegur sapa biasa, lama-lama meluahkan rasa di hati. Dan tepat jangkaan kami, masing-masing menaruh perasaan.
“Kekasih aku ini masih bekerja, memiliki syarikat sendiri. Tidaklah besar, tetapi bukan kecil juga. Dari segi peribadi, dia memang ayah dan suami yang mithali (ketika isterinya hidup). Dia menyatakan hasratnya untuk meminang aku. Tetapi aku risau dengan penerimaan keluarga. Bagaimana pula kehidupan aku sebagai mak tiri nanti.
“Oleh sebab latar belakang keluarga aku agak konservatif, mereka memang sangat titik beratkan agama. Contohnya kalau tak belajar tinggi tidak mengapa, asalkan ada juga pengetahuan agama. Kalau boleh nak ustazlah sebagai menantu. Tetapi lelaki ini, memang kaki masjid cuma ada sedikit kekurangannya.
“Sebabnya, anak-anak dan arwah isterinya dahulu tidaklah semuslimah seperti kegemaran keluargaku. Jadinya aku takutlah dari situ mereka sudah tak boleh terima. Takut sekiranya aku tidak terbimbing agaknya. Kawanku juga memang menentang hubungan ini. Risau keluarga aku tak dapat menerima abang dan keluarganya.
“Aku pun bukannya tiada calon lain yang ingin mendekati. Tetapi langsung tidak terbuka hati untuk menerima. Jadi kami sekarang terpaksa bercinta sorok-sorok. Cuma tak pernah keluar sekali. Aku sedang kumpul kekuatan untuk beritahu dan meyakinkan keluarga aku.
“Aku juga perlu melakukan persediaan mengenai penerimaan keluarganya juga. Berjaya ke perkahwinan jarak umur macam ini? Bagaimana dengan penerimaan keluarga dan sebagainya? Aku buntu. Istikharah aku mungkin belum istiqamah, itu yang belum dapat jawapan,” luah Puteri menerusi sebuah forum atas talian.
Baca juga : ‘Parti menang tak datang, parti kalah pun tak jenguk’ Pengundi Nenggiri tak teruja keluar undi