Wanita terkejut animasi Upin Ipin tiruan penuh unsur lucah

Oleh MOHD FAHMI MUSTAQIM

Siapa sahaja yang tidak kenal dengan siri animasi popular, Upin & Ipin?

Tidak kira tua atau muda, animasi terbitan syarikat tempatan Les Copaque mempunyai peminatnya yang tersendiri.

Ia turut dikenali dan diminati oleh negara luar antaranya seperti Indonesia, India serta ditayangkan menerusi Netflix United Kingdom dan Australia.

Malah, Upin & Ipin menjadi antara siri animasi yang mendapat tontonan tertinggi di platform YouTube.

Dek kerana populariti kartun ini, ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan mencemarkan imej animasi tersebut

Wanita terkejut animasi Upin Ipin tiruan penuh unsur lucah

dengan membuat kandungan fan art atau tiruan yang tidak senonoh sebelum dimuat naik di platform tersebut.

Menerusi satu perkongsian di kumpulan Facebook Tragedi Apa Hari Ini (TAHI), seorang pengguna meluahkan rasa risau berhubung kandungan video separa lucah melibatkan animasi tersebut.

Jelas pengguna Facebook yang dikenali sebagai Taring Putih Konoha, dia menyedari kandungan video berkenaan apabila melihat kanak-kanak berumur tujuh hingga lapan tahun menonton animasi tersebut di taman.

Menerusi hantaran yang dibuat, dia meminta agar ibu bapa sentiasa mengawasi anak-anak terutama ketika menggunakan gajet bagi menonton animasi di internet.

Risau dengan keadaan itu juga, dia turut meminta agar pihak berwajib mengambil tindakan sepatutnya bagi mengelakkan daripada kandungan tersebut semakin berleluasa.

“Saya nak berpesan kepada ibu bapa sekalian sesibuk mananya kalian, kalian harus awasi apa tontonan anak-anak.

“Tadi dekat taman, terkejut saya tengok ada budak-budak umur 7/8 tahun tengok cerita Upin Ipin yang Indonesia (peminat) buat. Memang sangat-sangat lucah, Tok Dalang intip Kak Ros sambil lanc*p. Budak-budak yang tengok tu gelak ketawa tanpa mereka faham, uishhh ngeri sangat.

“Harap-harap ada pihak dapat mengambil tindakan terhadap YouTuber Indonesia ni, bod*h si*l video ni. Harap ibu bapa selalu awasi anak-anak juga, jangan jadi pemalas sangat,” tulisnya.

Hasil semakan di platform berkenaan mendapati sememangnya terdapat beberapa video tidak senonoh menggunakan watak lain animasi Upin & Ipin antaranya seperti Tok Dalang dan Kak Ros.

Pendedahan tersebut nyata menarik perhatian ramai. Rata-rata pengguna yang terdiri daripada ibu bapa terkejut dengan hantaran itu.

Kebanyakan daripada mereka turut menggesa agar pihak berwajib khususnya Menteri Komunikasi dan syarikat Les Copaque mengambil tindakan terhadap YouTuber tersebut atau menyekat kandungan berkenaan.

Malah, ada juga pengguna media sosial yang mengambil inisiatif untuk menyekat sendiri segala kandungan daripada negara jiran kerana bimbang ditonton oleh anaknya.

BACA: KKM arah henti jual ais krim dicampur ubat batuk serta-merta ini sebabnya