Atlet angkat berat Indonesia, Rizki Juniansyah berjaya mengharumkan nama Indonesia
apabila merangkul pingat emas dalam acara angkat berat kategori 73 kilogram (kg) di Sukan Olimpik Paris.
Rizki berjaya melakukan angkatan 354 kg secara keseluruhan meliputi angkatan ‘snatch’ 155 kg dan ‘clean and jerk’ sebanyak 199 kg.
Kejayaan itu membolehkan dia mengukir sejarah sebagai atlet angkat berat pertama Indonesia meraih pingat emas di Sukan Olimpik
selain turut mencatat rekod Olimpik bagi ‘clean and jerk’ dengan angkatan 199 kg.
Pencapaian itu sebenarnya dibantu dengan ‘ritual’ yang dilakukan Rizki sebelum pertandingan di mana dia mencuci kaki ibunya dan kemudiannya meminum air basuhan kaki ibunya itu.
Perkara itu didedahkan olehnya ketika bertanding pada Kejuaraan Piala Dunia IWF 2024 di Thailand dan dia mengakui perkara itu memberikan kekuatan tersendiri untuknya.
“Sebelum saya mengikuti apa-apa kejuaraan, saya akan mencuci tangan dan kaki ibu dengan air lalu saya minum air basuhan itu.
“Setiap kali saya mencium kaki dan mencuci kaki ibu lalu minum air itu, saya rasa berkat,” katanya dipetik menerusi portal marketeers.com.
Namun, ritual itu hanya sebagai simbolik kepada tindakan atlet itu yang jelas memuliakan ibunya.
Rizki dan ibunya sememangnya menjalin hubungan yang rapat dengan ibunya turut hadir menyaksikan pertandingan anaknya di Paris.
Ibunya, Yeni Rohaeni juga adalah atlet angkat berat dan begitu juga ayahnya, Mohammad Yasin yang juga bekas atlet angkat berat kebangsaan.