‘Parti menang tak datang, parti kalah pun tak jenguk’ Pengundi Nenggiri tak teruja keluar undi

Oleh CHE HUSNA KAMARUZZAMAN

Kurang seminggu sebelum hari membuang undi, beberapa penduduk bukan Melayu di Nenggiri tidak begitu teruja untuk memilih wakil rakyat baharu.

Chan Oh Teh, 72, menyatakan bahawa nasib mereka di Kampung Batu 5 tidak berubah meskipun telah beberapa kali bertukar wakil rakyat.

Warga emas ini, dengan nada kecewa, berkata keluarganya tidak pernah dikunjungi oleh Adun Nenggiri, apatah lagi menerima bantuan.

“Bagi saya, sama saja parti mana. Parti menang pun tidak datang, parti kalah pun tidak jenguk kami, baik Barisan Nasional atau PAS,”

katanya menurut laporan FMT. “Selepas menang, mereka ini tak tahu datang atau tidak turun padang.”

'Parti menang tak datang, parti kalah pun tak jenguk' Pengundi Nenggiri tak teruja keluar undi

Tong Bong Sing, 71, pula memberitahu bahawa beliau akan keluar mengundi jika ada pihak yang sudi membawanya ke tempat mengundi.

“Kalau ada orang datang ambil, kita keluar mengundi. Kalau tidak ada siapa ambil, kami tak pergi sebab nak bawa kereta tak boleh,” katanya. Warga emas ini berkata beliau pernah keluar mengundi atas usaha sendiri.

“Kalau parti menang pun kita tak dapat apa, kalah pun tak dapat apa. Jadi buat apa susahkan diri pergi mengundi?” soalnya.

Toang Kain, 45, pula berkata beliau akan keluar mengundi jika diberikan bantuan seperti bayaran minyak untuk kenderaan sebelum hari mengundi.

“Kalau tak bantu, saya tak akan keluar mengundi. Takkan nak guna modal sendiri? Kita orang kampung nak ambil duit dari mana untuk isi minyak… nak pergi mengundi jauh,” katanya.

Sementara itu, Chan berkongsi pengalamannya menghadapi banjir besar di Kelantan pada tahun 2014, apabila rumahnya dijadikan tempat letak barang bantuan.

“Mereka yang datang beri bantuan tak bantu kami di Kampung Batu 5. Mereka hanya bantu penduduk terjejas banjir sekitar Kampung Batu 6 sahaja. Rumah saya hanya dijadikan tempat letak barang.

Bila tanya kenapa saya tak dibantu, mereka kata rumah saya tak tenggelam jadi tak layak dapat,” katanya.

Seramai 20,259 pengundi akan memilih wakil mereka pada 17 Ogos dalam pertandingan satu lawan satu antara BN dan PAS.

BACA: Terbongkar rahsia kenapa restoran mewah kerap hidang makanan kuantiti sikit?