Penyanyi Bella Astillah tidak mengetahui tentang penyebaran video bekas suaminya, Aliff Aziz, yang didakwa menyertai kumpulan tabligh di Singapura.
Bella atau Dayang Ara Nabella Awang Astillah, 30, berkata dia hanya mampu mendoakan yang terbaik untuk Aliff
jika benar aktor tersebut ingin berubah ke arah kebaikan melalui pengajian agama.
“Saya tidak tahu mengenai hantaran yang tular di TikTok dan jika boleh, saya tidak mahu mengulas lanjut mengenainya.
“Ini adalah perjalanan hidupnya, dan kita tidak tahu niat sebenar seseorang. Jika benar, Alhamdulillah.
“Jika dia mahu berubah ke arah yang lebih baik, saya hanya mampu mendoakan yang terbaik,” katanya menurut laporan mStar.
Bella berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada sidang media Konsert Jiwa Malaysia yang diadakan di Pavilion Bukit Jalil pada petang Khamis.
Pada Rabu, tular sebuah video di TikTok yang dikongsi oleh Ustaz Haji Taufik, memperlihatkan Aliff mengenakan pakaian serba putih dan berserban di salah satu masjid di Singapura.
Taufik, dalam kapsyen video tersebut, meninggalkan pesan agar orang ramai tidak mudah menjatuhkan hukum terhadap sesama manusia.
Ini bukan kali pertama Aliff mengikut kumpulan tabligh; beliau pernah melakukan perkara serupa sekitar Ogos 2021.
Untuk rekod, Bella dan Aliff bercerai talak satu pada 13 Jun lalu selepas lapan tahun hidup sebagai suami isteri.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Ayden Adrean, 7 tahun dan Ara Adreanna, 4 tahun.
Dalam perkembangan lain, Bella antara barisan artis yang bakal mengadakan persembahan di Konsert Jiwa Malaysia bersama beberapa nama besar lain termasuk Bunkface, Hujan, Ruffedge, Insomniacks, Spider, dan Dolla.
Konsert berkenaan bakal berlangsung pada 7 September 2024 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.