Zamarul Hisham dedah rahsia masih dapat tawaran jadi hero walau di usia 53 tahun

Oleh BURHANUDDIN ABD RAZAK

Mungkin kerana penangan karismanya dan tubuh yang gagah, ia menjadi faktor Zamarul Hisham terus dihujani banyak tawaran sebagai hero walaupun kini di usia 53 tahun.

Jika aktor lain sudah pun membawakan watak-watak bapa, namun lain pula bagi Zamarul yang masih lagi bergandingan dengan artis-artis muda.

Dia juga sebenarnya tidak mengerti, mengapa situasi begitu terjadi kepadanya, namun dia percaya ia adalah rezeki yang sudah tertulis.

“Alhamdulillah pada usia 53 tahun saya masih diberi peluang untuk melakonkan watak hero bergandingan dengan artis-artis muda.

“Sekarang ini saya sedang menjalani penggambaran drama 40 episod sebagai hero untuk saluran Astro Ria.

Zamarul Hisham dedah rahsia masih dapat tawaran jadi hero walau di usia 53 tahun

Selepas itu saya akan teruskan penggambaran sebagai watak utama untuk drama yang akan ditayangkan dalam platform penstriman, Tonton.

“Saya pun sebenarnya tak tahu nak jawab macam mana jika ada orang tanya bagaimana saya masih menerima tawaran sebagai hero. Mungkin sudah rezeki saya,” katanya menurut laporan Kosmo!.

Suami kepada Diana Rafar itu mendedahkam, dia mempunyai satu amalan yang sering dilakukannya sebelum pergi ke tempat kerja iaitu berdoa di dalam kereta.

Katanya, dia akan berdoa dengan sesungguh hati sebelum mulakan perjalanan. Amalan itu sudah dibuat sejak 30 tahun lalu ketika dia menceburkan diri dalam bidang lakonan.

“Apa yang saya buat adalah saya akan berdoa berkali-kali sehingga saya rasa betul-betul ‘feel’ dan dapat. Sama seperti berlakon. Selagi saya tak ‘feel’ selagi itu saya akan berdoa.

“Kemudian barulah saya akan bergerak ke lokasi penggambaran. Mungkin disebabkan saya adalah seorang penghidap OCD (kecelaruan obsesif kompulsif),” kongsinya seperti dilapor.

Ditanya apakah antara doa yang diminta, kata pelakon filem I Know What You Did Last Raya itu, doa yang selalu dipanjatkan adalah agar urusan kerjanya dimudahkan.

“Antara doa yang saya mohon adalah supaya dikurniakan penghayatan yang kuat dalam lakonan saya supaya orang yang melihat akan sukakan lakonan saya,” ujarnya panjang.

Baca juga: “Aku hairan betul dengan pak mertua, dia suka sangat peluk dan cium aku tapi aku pon layan juga”