Sukan Olimpik Paris 2024 kini sedang berlangsung sejak 26 Julai lalu hingga 11 Ogos ini, dengan Perancis dipilih sebagai tuan rumah pada edisi kali ini.
Setiap edisi Olimpik mempersembahkan pelbagai sukan menarik yang dinanti-nantikan oleh penonton di seluruh dunia.
Bola sepak, renang, dan badminton adalah antara sukan yang sering mendapat perhatian dan sambutan.
Namun, pernahkah anda terfikir mengapa sukan seperti skuasy tidak pernah mendapat tempat di pentas Olimpik?
Walaupun skuasy telah melahirkan banyak atlet berbakat seperti Dato’ Nicol Ann David yang pernah memegang gelaran pemain nombor 1 dunia, sukan ini masih belum dipertandingkan di Olimpik.
Untuk memahami sebabnya, mari kita lihat bagaimana proses pemilihan sukan Olimpik dilakukan.
Bagaimana Proses Pemilihan Sukan Olimpik Dilakukan?
Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) adalah badan berkuasa yang menguruskan pemilihan sukan untuk temasya Olimpik. IOC bertanggungjawab untuk mengiktiraf sukan-sukan ini.
Sekiranya satu sukan telah diiktiraf, ia akan dibawa ke peringkat Persekutuan Sukan Antarabangsa (IF) untuk memohon kemasukan dengan mengemukakan petisyen kepada IOC.
IOC kemudian akan menilai sukan tersebut berdasarkan kriteria yang ditetapkan untuk menentukan sama ada ia layak dimasukkan ke dalam Sukan Olimpik.
Disebabkan itu, jenis sukan yang dipertandingkan dalam setiap edisi Olimpik boleh berbeza.
Setiap sukan yang diluluskan untuk Olimpik memerlukan atletnya menjalani ujian doping selaras dengan peraturan Olimpik.
Untuk mempertimbangkan sesuatu sukan itu layak, sukan tersebut mestilah dimainkan secara meluas di sekurang-kurangnya 75 negara dan empat benua oleh lelaki, serta di sekurang-kurangnya 40 negara dan tiga benua oleh wanita. Selain itu, sukan tersebut perlu meningkatkan “nilai dan daya tarikan” Sukan Olimpik dan mencerminkan tradisi moden Olimpik.
Bagi sukan yang pernah menjadi sebahagian daripada Olimpik, ia perlu disemak secara berkala untuk menentukan relevansinya.
Namun, ada juga sukan yang diiktiraf tetapi tidak dipertandingkan dalam Olimpik seperti boling dan catur.
Skuasy di Mata Dunia
Walaupun banyak sukan berasaskan raket seperti tenis dan badminton dipertandingkan dalam Olimpik, skuasy masih tidak berjaya menembusi pentas tersebut. Persekutuan Skuasy Dunia (WSF) telah berusaha keras untuk memasukkan sukan ini ke dalam Olimpik, termasuk bidaan untuk Sukan Olimpik Paris 2024, tetapi usaha mereka masih menemui jalan buntu, sama seperti pada Olimpik London 2012, Rio 2016, dan Tokyo 2020.
Menurut Presiden IOC, Thomas Bach, pemilihan sukan dalam Olimpik mesti mengambil kira keseimbangan jantina, penglibatan golongan muda, dan kemajuan. Walaupun skuasy telah membuktikan keseimbangan jantina, ia masih tidak seiring dengan sukan lain dari segi penglibatan akar umbi atau sistem teknologinya.
Oleh itu, skuasy kekal sebagai sukan dalam Sukan Komanwel, yang merupakan peringkat tertinggi penyertaan sukan ini.
Dalam satu kenyataan, Persekutuan Skuasy Dunia dan Persatuan Skuasy Profesional menyatakan keyakinan mereka bahawa skuasy layak untuk disertakan dalam Olimpik. “Kami benar-benar percaya skuasy boleh disepadukan dengan lancar ke dalam temasya Olimpik dengan kos minimum dan kumpulan peserta yang optimum. Gelanggang kaca interaktif kami akan membawa banyak keterujaan dan aksi menarik kepada tuan rumah dan menarik minat golongan muda dalam sukan ini,” kata kenyataan tersebut.
Kurangnya pendedahan di televisyen juga mungkin menjadi faktor mengapa skuasy dipandang sebelah mata.
Adakah Skuasy Bakal Dipertandingkan dalam Olimpik Kelak?
Menurut laman web rasmi Persekutuan Skuasy Dunia (WSF), skuasy dijangka akan dipertandingkan buat pertama kali dalam sejarah di Sukan Olimpik Los Angeles 2028. Ini selepas IOC memberikan kelulusan terhadap sukan tersebut setelah dicadangkan oleh WSF tahun lalu.
Nicol David, bekas pemain nombor 1 dunia dan juara dunia sebanyak lapan kali, telah dinamakan sebagai wakil pertama Malaysia dalam skuasy Olimpik, dan beliau akan memegang peranan sebagai Timbalan Ketua Misi Malaysia untuk Sukan Olimpik Paris 2024.
BACA: Rahsia gelap kehidupan di Korea, jangan terkejut kalau ini berlaku ketika melancong disana