Isteri merangkak naik ke bahu jalan selamatkan diri lepas ditolak suami ke dalam gaung

Oleh MUHAMMAD KHAIRY JALALUDDIN

Seorang lelaki telah ditahan polis setelah disyaki menolak isterinya ke dalam gaung di lokasi berhampiran KM 31.2 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli pada Sabtu.

Superintendan Zulkifli Mahmood selaku Ketua Polis Daerah Gerik mengesahkan bahawa pihak mereka telah menerima

satu panggilan mengenai penemuan mangsa yang berusia 32 tahun itu di lokasi kejadian.

Difahamkan, mangsa bertindak merangkak naik ke bahu jalan untuk menyelamatkan diri sebelum ditemui orang awam.

Pemeriksaan awal oleh pegawai perubatan mendapati mangsa mengalami kesan calar, luka serta lebam pada tubuh badan dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Taiping.

Isteri merangkak naik ke bahu jalan selamatkan diri lepas ditolak suami ke dalam gaung

Siasatan awal mendapati insiden tersebut berlaku ketika suami isteri itu dalam perjalanan dari ibu kota menuju Perak atas alasan mahu pulang ke kampung.

Apabila sudah malam setibanya di suatu tempat, suspek memberhentikan kereta dan bertindak mengugut mahu membunuh mangsa menggunakan sebilah pisau namun mangsa merayu sebelum pertengkaran berlaku di dalam kereta itu sambil suspek mencekik leher mangsa.

Mangsa bertindak terjun daripada kereta tetapi suspek memasukkan isterinya itu semula ke dalam kereta dan terus memecut kereta sehingga tiba di kawasan KM 31.2 JRTB kira-kira jam antara 4 hingga 5 pagi.

Setibanya di kawasan itu, berlaku lagi pertengkaran mulut antara mereka.

Suspek kemudiannya menarik mangsa keluar dari kereta dan berlaku pergaduhan serta pergelutan di bahu jalan. Suspek kemudiannya bertindak menolak mangsa sehingga jatuh ke dalam gaung.

Suspek yang telah ditahan polis disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh.

Suspek juga turut mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau melibatkan dadah.

BACA: Mengandungi bakteria berbahaya, atlet olimpik 10 kali muntah selepas berenang Sungai Seine