Seorang usahawan dan syarikatnya telah diperintahkan untuk menerima ganti rugi sebanyak RM250,000 setelah memenangi
kes saman terhadap pelakon Rafidah Ibrahim, berhubung dakwaan enggan membayar hasil kerja selebriti itu tiga tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi, John Lee Kien How @ Mohd Johan Lee, memutuskan demikian setelah membenarkan saman fitnah yang difailkan oleh Haris Embong, 47, dan syarikatnya Arisprop Holdings Sdn Bhd,
yang mengendalikan perniagaan produk sejuk beku ‘Aris Burger’, sebagai plaintif terhadap Rafidah, 38, sebagai defendan.
Dalam penghakimannya, Lee menyatakan bahawa mahkamah mendapati hantaran kedua yang diterbitkan oleh defendan di media sosial adalah fitnah,
kerana perkataan yang digunakan oleh defendan tersebut mendedahkan plaintif-plaintif kepada kebencian, cemuhan, atau penghinaan.
“Mahkamah mendapati hantaran tersebut membawa maksud bahawa syarikat tersebut telah mengambil kesempatan ke atas defendan (Rafidah) dengan enggan membayar hasil kerja beliau ketika itu sebagai ketua pemasaran syarikat tersebut.
Ayat defendan memberi gambaran kepada pembaca seolah-olah syarikat tersebut tidak beretika, mengamalkan perniagaan yang mengeksploitasi atau menggunakan khidmat seseorang tanpa bayaran, serta tidak bermaruah dan perniagaan syarikat itu tidak berkat,” kata hakim tersebut.
Lee juga berkata defendan menggunakan perkataan yang merendahkan maruah kedua-dua plaintif di mata orang awam dan mengajak pembaca untuk menjauhi dua plaintif itu.
Selain itu, hakim menyatakan bahawa hantaran pertama yang diterbitkan oleh defendan berkenaan dakwaan plaintif sebagai tidak bermaruah, tidak berintegriti, dan jelik, bukanlah suatu fitnah walaupun perkataan yang digunakan oleh defendan mampu memiliki taksiran fitnah.
Mahkamah mendapati plaintif pertama (Haris) gagal membuktikan bahawa hantaran tersebut merujuk kepadanya. Oleh itu, plaintif pertama gagal membuktikan semua unsur fitnah bagi hantaran tersebut, katanya.
Hakim kemudian memerintahkan Rafidah membayar ganti rugi sebanyak RM100,000 kepada plaintif pertama dan RM150,000 kepada plaintif kedua (Arisprop Holdings), selain memerintahkan defendan membayar kos sebanyak RM30,000 kepada kedua-dua plaintif.
Mahkamah juga mengeluarkan perintah injunksi untuk menghalang defendan, sama ada melalui dirinya sendiri, kakitangan, atau ejennya daripada menerbitkan atau menyebabkan penerbitan perkataan yang bersifat fitnah terhadap kedua-dua plaintif.
Mahkamah turut menolak tuntutan balas yang dikemukakan oleh defendan terhadap kedua-dua plaintif, termasuk tuntutan wang sebanyak RM4,000 bagi gaji tertunggak bulan Ogos 2021 dan kos kemudahan sebanyak RM3,550 yang dipersetujui dalam kontrak pelantikan defendan.
Peguam Joycelyn Goh dan Foo Hong Chuen mewakili kedua-dua plaintif, manakala peguam Noorhafidzah Abd Rahim mewakili Rafidah.
Sementara itu, Haris ketika ditemui pemberita berkata beliau dan syarikatnya telah dicemuh oleh masyarakat dan berada dalam keadaan ‘alam kegelapan’ kerana orang ramai memandang serong terhadap perniagaannya akibat hantaran yang diterbitkan oleh Rafidah.
“Keputusan hari ini dapat membersihkan nama saya dan syarikat. Pada awalnya, saya tidak mahu mengambil tindakan terhadapnya (Rafidah) dan cuba menghubunginya untuk menurunkan hantaran tersebut, tetapi beliau meminta saya bercakap dengan peguamnya,” katanya.
Noorhafidzah berkata pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu dalam masa terdekat.
Dalam saman yang difailkan pada Oktober 2021, Haris mendakwa Rafidah, yang juga seorang pempengaruh media sosial, telah menerbitkan dua hantaran tersebut di Facebook beliau pada 21 September 2021 dan 18 Oktober 2021.
BACA: Gelagat Tengku Hassanal bila Tunku Azizah tanya ‘where’s your wife’ undang reaksi ramai