Biasanya kita sering mendengar tentang pelajar yang tidak berminat untuk pergi ke sekolah atas pelbagai sebab.
Namun, kini timbul satu trend di mana ibu bapa sendiri yang ingin anak mereka diberhentikan dari sekolah.
Perkara ini dikongsi oleh sebuah laman Facebook bernama Ajar, yang merasa pelik dengan fenomena di media sosial di mana ibu bapa saling bersetuju untuk tidak menghantar anak ke sekolah.
Menurut Ajar, antara alasan yang diberikan oleh golongan ibu bapa ini untuk memberhentikan anak dari bersekolah adalah kerana mereka mahu anak lebih
fokus kepada ilmu agama dan merasakan ilmu dunia sudah tidak penting.
Selain itu, ada juga yang berpendapat bahawa anak-anak hanya perlu ke sekolah semasa peperiksaan sahaja dan tidak penting untuk hari-hari lain.
Lebih daripada itu, golongan ibu bapa ini turut beranggapan bahawa lebih baik untuk anak-anak belajar di rumah sahaja (dengan ibu bapa sendiri sebagai pengajar) dan membeli buku mata pelajaran sendiri kerana ia lebih menjimatkan kos.
Fahaman ibu bapa ini dianggap berbahaya dan membimbangkan. Rata-rata netizen tidak bersetuju kerana anak-anak yang masih kecil memerlukan kemahiran sosial untuk perkembangan mereka.
Untuk pengetahuan, ibu bapa atau penjaga yang gagal menghantar anak ke sekolah boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).
Ini merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 29 A (4), dan jika sabit kesalahan, ibu bapa boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan, atau kedua-duanya sekali.