Dibesarkan dengan peraturan ketat, Iman Troye dedah dapat miliki telefon pada usia 17 tahun

Oleh JUNITA ABD RAHIM

Iman Troye, atau nama sebenarnya Iman Alyssa Sahabuddin, yang kini berusia 22 tahun,

Mendedahkan bahawa beliau hanya memiliki telefon bimbit sendiri pada usia 17 tahun, dengan penggunaannya dilimitkan.

Menurut Iman, pada waktu malam, telefon bimbit tersebut perlu diserahkan kepada ibunya untuk disimpan sebelum beliau menyelesaikan kerja sekolah atau tidur.

“Saya dapat ‘pegang’ telefon pada usia 13 tahun untuk memuat naik lagu yang saya nyanyikan di laman sosial, tetapi itu pun kepunyaan ibu.

Kemudian, ketika tingkatan lima, barulah saya mempunyai telefon bimbit sendiri yang juga perlu diserahkan semula kepada ibu pada waktu malam seperti yang disyaratkan,” jelasnya.

Dibesarkan dengan peraturan ketat, Iman Troye dedah dapat miliki telefon pada usia 17 tahun

Beliau menambah bahawa peraturan ini turut diikuti oleh adik-beradiknya yang lain ketika mereka masih di bangku sekolah. Ketika ditemui di majlis pelancaran Kotex Total Protection baru-baru ini,

Iman yang merupakan anak bongsu dalam keluarganya, menyedari bahawa tindakan ibu bapanya dalam menghadkan penggunaan telefon mempunyai tujuan tertentu.

Menurutnya, selain telefon, sejak kecil beliau dan adik-beradiknya juga diminta mematuhi beberapa peraturan lain untuk mendisiplinkan diri.

“Dulu saya tertanya-tanya mengapa perlu ikut jam untuk guna telefon dan kenapa kawan-kawan perlu datang ke rumah dahulu jika mahu keluar bersama-sama.

Waktu itu kita tidak faham, tetapi sekarang apabila melihat insiden-insiden menakutkan akibat jenayah sosial, saya berasa lega kerana adanya peraturan dalam hidup kita,” ujarnya.

Iman juga mengulas mengenai isu semasa yang melibatkan remaja yang memberontak hingga sanggup lari dari rumah kerana merasa dikongkong keluarga.

Penyanyi lagu “Nang” ini berharap golongan muda tidak terbawa-bawa oleh emosi sehingga melakukan perkara yang boleh menyebabkan penyesalan di kemudian hari.

“Ibu bapa hanya mahukan yang terbaik untuk anak-anak, jadi kita sepatutnya mematuhi nasihat mereka daripada mengikut saranan individu yang tidak dikenali di laman sosial atau melalui aplikasi lain,” tambahnya.

Pada majlis yang sama, Iman turut melancarkan lagu baharunya berjudul “Teman Malam” sebagai sebahagian daripada promosi produk Kotex Total Protection.

BACA: “Pelik masa kat pejabat isteri aku tengok dia punya punch card setiap hari balik 5.30 petang tapi sampai rumah pukul 1 pagi!”