Seorang wanita nekad mahu menjual buah pinggangnya demi melangsaikan hutang anaknya yang kini hilang kerana melarikan diri, lapor laman berita Kompas.
Wanita yang hanya dikenali sebagai ER itu dirakam berdiri di tepi sebatang jalan sambil memegang poster bertulis
‘Dijual ginjal’ (mahu menjual buah pinggang) yang turut disertakan dengan nombor telefonnya.
Dia kemudian dihampiri pasukan unit Polis Perkhidmatan Awam yang sedang meronda sebelum dibawa ke pejabat khidmat sosial untuk memberi keterangan.
Menurut ibu tunggal dengan tiga anak itu, dia mahu menjual buah pinggangnya untuk melunaskan hutang anak keduanya yang mencapai ratusan juta rupiah.
Dia terpaksa menanggung hutang anaknya yang sudah lebih setahun melarikan diri kerana tidak sanggup membayar hutang tersebut.
“Hutang anak saya kira-kira 200 juta rupiah (RM57,300) dan sudah setahun lebih dia tidak membayar,” kata ER.
Tambah wanita tersebut, anaknya yang berusia 31 tahun itu membuat pinjaman untuk memulakan perniagaan. Namun, disebabkan tidak sanggup membayar jumlah hutang dan faedah pinjaman, dia kini ‘lesap’.
Katanya, meskipun menyedari bahawa tindakan menjual buah pinggang dilarang oleh pemerintah dan agama, dia tidak mempunyai pilihan lain kerana pihak pemiutang sering datang ke rumah untuk menuntut hutang anaknya.
“Saya ditagih hutang tersebut sehingga mereka datang ke rumah. Wang bayaran bulanan adalah berbeza, ada yang 800,000 rupiah (RM229) sehingga 1 juta rupiah (RM286),” katanya.
BACA: Baru tahu rupanya kangkung, menu terkenal di Malaysia rupanya haram di Amerika tapi kenapa?