Bekas Menteri pengangkutan kecewa dengan ‘AirAsia’, rasa macam bodoh kena ‘sidai’

Oleh DAHLIA MARZUKI

Beberapa kelewatan penerbangan AirAsia dari Kota Kinabalu ke Sandakan semalam menimbulkan kemarahan bekas menteri pengangkutan, Wee Ka Siong.

Melalui Facebook, Wee menyatakan rasa kecewa dan mengkritik syarikat penerbangan tambang murah tersebut kerana didakwa

“lari daripada tanggungjawab” setelah menangguhkan penerbangan yang dijadualkan pada 3.10 petang semalam sebanyak lima kali.

“Seawal 8.40 pagi pada 20 Julai 2024, saya menerima SMS dari AirAsia bahawa penerbangan saya ditunda ke 5.55 petang pada hari yang sama.

“Sekitar 2 petang, selepas saya ‘check out’ dari Hotel Le Meridian Kota Kinabalu, saya sekali lagi dimaklumkan bahawa penerbangan saya terpaksa ditunda ke 11.30 malam 20 Julai 2024.

Bekas Menteri pengangkutan kecewa dengan 'AirAsia', rasa macam bodoh kena 'sidai'

“Pada jam 8.55 malam, saya menerima mesej daripada AirAsia yang menyatakan penerbangan saya BKI-SDK ditunda ke 2.10 pagi pada 21 Julai 2024.

“Akan tetapi, pada jam 10.15 malam, saya dimaklumkan bahawa penerbangan saya akan diawalkan ke 1.30 pagi pada 21 Julai 2024. Saya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sebelum jam 1 pagi pada 21 Julai 2024.

“Namun, saya benar-benar kecewa apabila staf AirAsia di kaunter mengesahkan bahawa penerbangan AK6498 telah dibatalkan dan maklumat mengenai penerbangan hanya akan diketahui dan dimaklumkan kepada semua penumpang pada 7 pagi 21 Julai 2024.

“Hey! Tolong jangan susahkan kami! Saya sudah mendaftar keluar dari hotel pada pukul 2 petang. Selepas itu, saya tunggu macam orang bodoh,” katanya dalam video berdurasi tiga minit itu.

Presiden MCA tersebut menegaskan bahawa AirAsia sepatutnya memberi notis awal kepada penumpang jika terdapat masalah dengan penerbangan tersebut, bagi membolehkan mereka mempertimbangkan alternatif lain untuk sampai ke destinasi mereka.

“Kalau AirAsia sudah berniat untuk membatalkan penerbangan AK6498, mereka patut maklumkan kepada penumpang lebih awal dan jangan memberi maklumat atau harapan palsu berkali-kali.

“Saya dapati ramai lagi pelanggan AirAsia yang terkandas di KKIA. Kasihan mereka. Sekumpulan penumpang yang saya temui di Promenade

Hotel marah kerana syarikat penerbangan tersebut tidak mengatur sebarang penginapan bagi penumpang yang terkandas selama dua hari sehingga Isnin depan. Bayangkan,” katanya.

“Saya terpaksa membatalkan program saya di Sandakan yang dijadualkan pada 7 malam 20 Julai 2024 dan program pada 10 pagi 21 Julai 2024 masih belum diketahui kedudukannya. Maaf kepada kawan-kawan saya yang menunggu di Sandakan,” tambahnya.

BACA: Ramai pemimpin Bersatu takut PAS akan kalahkan Bersatu dalam PRU 16