Seorang pemuda di Selangor mengalami detik paling trauma dalam hidupnya apabila diliwat selepas kena calit dengan sejenis minyak oleh pelukis tatu berusia 37 tahun.
Anak muda itu yang juga pemandu syarikat penghantaran barang menjadi mangsa seks luar tabii ketika mendapatkan khidmat tatu pada 25 Jun lalu.
Suspek mula melukis bunga di tangan kanan tetapi tidak lama selepas itu menyapu minyak menyebabkan mangsa berusia 24 tahun tidak sedar apa yang terjadi.
“Selepas itu, mangsa tersedar dan mendapati dirinya dalam keadaan tidak berpakaian.
“Mangsa kemudiannya terus keluar dari premis dan berasa amat sakit di bahagian dubur serta mengesyaki lelaki itu meliwatnya.
“Mangsa kemudian tampil membuat laporan polis sebelum menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM),” kata Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar.
Sehubungan itu, polis menahan pelukis tatu berkenaan selepas disyaki meliwat pelanggan lelakinya dalam kejadian di sebuah premis, di Petaling Jaya.
Selang dua hari selepas mangsa diliwat, suspek warga tempatan itu ditangkap di rumahnya di Sungai Way, kira-kira pukul 8.12 malam.
“Semakan lanjut mendapati suspek memiliki dua rekod kesalahan jenayah lampau dan jenayah yang mana liwat adalah kesalahan pertamanya.
“Siasatan lanjut mendapati, modus operandi suspek adalah dengan mencalitkan minyak pada anggota badan pelanggan sehingga mangsa tidak sedarkan diri sebelum melakukan perbuatan tidak senonoh,” katanya.
Tambah beliau, suspek kini direman selama empat hari sehingga 30 Jun ini bagi membantu siasatan lanjut.
“Kes sedang dijalankan siasatan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan kerana meliwat iaitu melakukan persetubuhan secara luar tabii.
“Pelaku kesalahan tersebut boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan,” tambahnya lagi.
BACA JUGA : 29 tahun terpisah, wanita akhirnya berjaya jumpa dengan ibu kandung selepas buat benda ni