Berikut ialah biodata rasmi Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, berdasarkan maklumat yang dikeluarkan
oleh Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor (Royal Press Office).
Raja Permaisuri Agong diputerakan pada 14 Ogos 1959 di Hospital Batu Gajah, Perak.
Baginda merupakan puteri kedua dan anakanda ketiga kepada Almarhum Sultan Perak,
Paduka Seri Sultan Idris Shah II dan Almarhumah Raja Perempuan Perak, Raja Perempuan Muzwin Almarhum Raja Datuk Seri Ariff Shah.
Biodata Rasmi Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah
Nama Penuh: Raja Zarith Sofiah
Tarikh Lahir: 14 Ogos 1959
Tempat Lahir: Hospital Batu Gajah, Perak
Keturunan: Puteri kedua dan anakanda ketiga kepada Almarhum Sultan Perak, Paduka Seri Sultan Idris Shah II dan Almarhumah Raja Perempuan Perak, Raja Perempuan Muzwin Almarhum Raja Datuk Seri Ariff Shah.
Pendidikan
Raja Zarith Sofiah mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Datin Khadijah, Kuala Kangsar, Perak sebelum menyambung pendidikan menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan Kalsom, juga di Kuala Kangsar.
Baginda kemudian menyambung pelajaran peringkat menengah di Cheltenham Ladies’ College di England pada 1972, sebelum menyambung pengajian tinggi di peringkat Ijazah Sarjana Muda di Somerville College, University of Oxford pada 1979 dan dikurniakan Bachelor of Arts in Chinese Studies pada 1983.
Pelantikan Permaisuri Johor
Baginda dikurniakan gelaran Permaisuri Johor bersempena dengan Istiadat Kemahkotaan Sultan Ibrahim pada 23 Mac 2015.
Anakanda Putera dan Puteri
Raja Zarith Sofiah diijabkabulkan bersama Sultan Johor Sultan Ibrahim pada 22 September 1982 ketika Sultan Ibrahim bergelar Tunku Mahkota Johor. Perkongsian hidup Seri Paduka Baginda berdua dikurniakan lima putera dan seorang puteri iaitu:
Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail
Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah
Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar
Tunku Laksamana Johor Almarhum Tunku Abdul Jalil
Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman
Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar
Minat dan Bakat
Mewarisi minat dan bakat seni ayahanda terutamanya dalam seni lukis, Seri Paduka Baginda pernah menyertai beberapa pameran seni seperti pameran Galeri Seni Yayasan Warisan Johor pada 2003 dan pameran seni anjuran Maybank Kuala Lumpur yang memberi penghormatan kepada tiga generasi seniman Johor pada 2004.
Raja Zarith Sofiah juga merupakan seorang penulis prolifik dan pernah mempunyai ruangan akhbar khusus iaitu “On Common Ground” untuk New Straits Times dan “Mind Matters” untuk The Star. Seri Paduka Baginda juga pernah menulis empat buku kanak-kanak pada 1995.
Jawatan Disandang
Pada masa ini, Seri Paduka Baginda menjadi Penasihat Diraja kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan Pengerusi Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor. Selain itu, Seri Paduka Baginda juga merupakan Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Pengerusi Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor.
Pencapaian
Raja Zarith Sofiah merupakan seorang kerabat diraja yang bergiat aktif dalam pelbagai kerja kebajikan, khususnya melalui platform badan bukan kerajaan (NGO) sehingga mendapat pengiktirafan antarabangsa iaitu dianugerahkan ijazah kehormat daripada University of Nottingham pada 2017.
Pada 17 Mac 2016, Seri Paduka Baginda berkenan menyempurnakan program “Because We Care” Chancellor’s Fund yang bertujuan menjaga kebajikan pelajar golongan B40 di UTM, serta turut mengilhamkan program Bangsa Johor Bahagia pada 17 Mac 2019 yang memberi penekanan terhadap aspek kebajikan masyarakat, khususnya golongan B40.
Raja Zarith Sofiah sering dijemput sebagai pengucap tama persidangan akademik di dalam dan luar negara termasuk menyampaikan ucaptama pada Persidangan Meja Bulat OCIS-UTM, bertemakan “Imagining the Future: Climate Change, Health and Food Security in Muslim Societies”, anjuran UTM dan Oxford Centre of Islamic Studies (OCIS) pada Mei tahun lalu.
BACA: Penampilan terbaru Shima ‘Teringin’ buat ramai terkejut