Seperti deja vu, berita pesawat Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh pada 17 Julai 2014 mengejutkan perasaan individu yang sangat dekat dengan segala hal berkaitan penerbangan.
Bekas Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman, terkejut sebaik dimaklumkan mengenai tragedi yang meragut 298 nyawa itu.
“Pada 17 Julai 2014, saya tiba di Beijing, China untuk mengiringi Menteri Pengangkutan ketika itu,
Datuk Seri Liow Tiong Lai, yang tiba sehari lebih awal untuk bertemu rakan sejawatnya dan berbincang mengenai pencarian pesawat MH370.
“Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing pada jam 12.30 pagi waktu tempatan, kami disambut oleh kakitangan lapangan terbang dan beberapa pegawai MAS.
“Mereka menyerahkan semula pas berlepas kepada kami untuk pulang ke Kuala Lumpur.
“Pada mulanya, saya menyangka mesyuarat di Beijing telah dibatalkan, dan kami bercadang untuk berehat satu malam di hotel kerana terlalu letih.
“Kami hanya diberitahu ada sesuatu yang berlaku di Kuala Lumpur dan melihat laporan di telefon bimbit mengenai pesawat MH17 yang terhempas di Ukraine,” katanya.
Azharuddin juga dihubungi oleh isterinya yang bertanya mengenai nasib MH17.
“Spontan saya berkata: ‘Oh no!’ Saya terkejut! MH370 belum selesai, belum ditemukan, kini satu lagi tragedi berlaku dan jelas semua penumpang terkorban,” ujarnya.
Beliau dan Tiong Lai terpaksa menaiki pesawat yang sama untuk pulang ke ibu negara bagi mendapatkan taklimat mengenai kejadian tersebut.
Azharuddin mengingati suasana pilu ketika bertemu dengan waris mangsa, termasuk anak kapal MH17, terutamanya kerana umat Islam hampir menyambut Aidilfitri ketika itu.
Keesokan harinya, beliau diarahkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak, untuk ke Ukraine dan berangkat ke Kiev melalui Amsterdam, Belanda.
“Sebaik tiba di Amsterdam, pegawai memaklumkan bahawa amat sukar untuk memasuki kawasan tragedi dan kami terpaksa mengatur semula perancangan,” katanya.
Beliau mengakui bahawa tekanan yang dihadapi pasukannya ketika mengendalikan tragedi MH370 adalah berbeza dengan MH17.
“Kita mencari MH370 tetapi tidak menjumpainya, rasanya ada sesuatu yang tidak lengkap. Kami berusaha sedaya upaya untuk mencarinya.
“Namun, MH17 ditembak dengan peluru berpandu, jadi kami sudah mengetahui ada pengakhiran cerita,” katanya.
Azharuddin menyatakan bahawa pengalaman dalam mengendalikan insiden MH370 banyak membantu dalam menguruskan kes MH17.
“Pasukan kami berani berbincang, berani memasuki kawasan konflik, dan berjaya membawa keluar kotak hitam serta jasad penumpang walaupun banyak rintangan.
“Walaupun menyedihkan, pengakhiran kisah MH17 sekurang-kurangnya memberi kita banyak jawapan,” katanya.
Beliau turut berkongsi detik menunggu status keberadaan kotak hitam MH17 ketika dibawa keluar menaiki kereta api dari zon perang di wilayah Donetsk, Ukraine, yang amat mencemaskan.
“Allah sahaja yang tahu betapa berdebar-debarnya kami. Apabila kami gagal menghubungi ‘The Dozen Person’ yang bertanggungjawab membawa bukti penting itu menuju Kharkiv, pelbagai perkara terfikir di fikiran kami.
“Akhirnya kami mendapat berita bahawa kotak hitam bersama mayat mangsa MH17 selamat diperoleh dan perlu segera dibawa ke bandar Kharkiv dengan perjalanan lapan jam.
“Kami memantau pergerakan mereka melalui komunikasi telefon secara berterusan sebelum tiba-tiba terputus hubungan selama sejam pada waktu malam.
“Kami cemas lagi, bimbang memikirkan apa yang berlaku,” katanya.
Beliau menyatakan bahawa kotak hitam itu kemudiannya diterbangkan ke Farnborough, London menggunakan pesawat khas dengan kawalan ketat pegawai keselamatan Malaysia dan Belanda untuk proses siasatan.